Khamis, 31 Ogos 2017 | 3:22pm
MOHAMED Khaled bersama naskhah khas BH edisi 31 Ogos 1957 yang dicetak semula. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MOHAMED Khaled bersama naskhah khas BH edisi 31 Ogos 1957 yang dicetak semula. - Foto Mohd Azren Jamaludin

BH bantu masyarakat cinta negara - Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor memuji inisiatif BH mencetak semula naskhah edisi 31 Ogos 1957 hari ini yang disifatkan mampu meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Mohamed Khaled Nordin memaklumkan inisiatif itu sesuatu yang boleh membantu masyarakat masa kini yang tidak melalui zaman itu merasai sambutan dan semangat kemerdekaan sebenar.

"Tahniah BH. Ini sesuatu yang boleh membantu masyarakat hari ini merasai sambutan, semangat, harapan dan kerjasama rakyat pada masa itu untuk menyambut sebuah negara.

"Banyak cara yang perlu dan sentiasa dibuat untuk masyarakat untuk sayangkan negara dan ini memang sesuatu kita amat galakkan supaya rakyat dengan cara masing-masing dapat menyumbang kepada usaha sayang serta cintakan negara," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Cetakan semula edisi 31 Ogos 1957 hari ini mempunyai 12 muka surat hitam putih.

Muka depan naskhah itu turut memaparkan Perdana Menteri Pertama yang juga Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra pada sambutan Kemerdekaan.

Ketika itu, naskhah terbabit dijual pada harga 15 sen.

Selain cetakan semula naskhah edisi 31 Ogos 1957, akhbar BH turut diterbitkan dengan sisipan Keluaran Khas 60 Tahun Mengisi Kemerdekaan 12 muka surat bersaiz 'broadsheet'.

Berita Harian X