Isnin, 28 Ogos 2017 | 5:09pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Rastam Mohd Isa (kanan) merasmikan buku Asean Future Forward di Hotel Sheraton Imperial. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Rastam Mohd Isa (kanan) merasmikan buku Asean Future Forward di Hotel Sheraton Imperial. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

ASEAN hadapi lima cabaran kini, akan datang

KUALA LUMPUR: Mengekalkan keamanan di rantau ini adalah antara lima cabaran utama perlu dihadapi ASEAN dalam tempoh 50 tahun akan datang, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, perkara itu adalah cabaran yang sering dihadapi semua ahli ASEAN dan akan berterusan pada masa akan datang.

Titah baginda, selepas lima dekad, adalah mudah untuk melupakan apa yang menyatukan ASEAN dan ia bukan disebabkan oleh ekonomi dan sosial walaupun kedua-duanya juga penting, tetapi adalah keamanan dan kestabilan.

"Mengapa keamanan sangat penting untuk ASEAN pada hari dan zaman ini? Keamanan dan keselamatan adalah sesuatu yang tidak boleh diambil kesempatan. Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (The Treaty of Amity and Cooperation) di Asia Tenggara mengesahkan perkara ini.

"Ia mengatakan bahawa tujuan perjanjian itu adalah untuk 'mempromosikan keamanan yang berterusan, persahabatan yang kekal dan kerjasama antara rakyat di Asia Tenggara.

"Komuniti ASEAN pada hari ini ditunjangi dengan tiga tonggak iaitu keselamatan politik, ekonomi dan sosio kebudayaan. Bagaimanapun, keamanan dan keselamatan yang mesti diutamakan dan beta percaya tiada yang dapat menggantikan teras utama bagi kesatuan dan kesinambungan ASEAN ini," titahnya.

Baginda bertitah pada seminar dan pelancaran buku 'ASEAN Menuju ke Hadapan: Jangkaan 50 Tahun Akan Datang' di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi dan Ketua Eksekutif Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik ASEAN (ISIS), Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Sultan Nazrin bertitah, cabaran kedua ialah mengekalkan kebebasan dan keneutralan ASEAN, terutama di waktu persaingan geopolitik yang kembali melanda rantau ini ketika ini.

Baginda bertitah, ASEAN diterima semua pihak dan pemusatannya, yang sebahagian besar ditunjukkan kemampuannya untuk bertindak sebagai hab inisiatif integrasi dan kerjasama di Asia Tenggara dan rantau Asia Timur yang lebih besar, banyak bergantung kepada keupayaannya untuk kekal bebas dan neutral.

"Cabaran ketiga ialah peranan ASEAN untuk kekal terbuka, sederhana dan inklusif. ASEAN melakukan tindakan bijak apabila kekal terbuka kepada dunia dan kedudukannya pada hari ini bukan disebabkan dasar tertutup, tetapi oleh keberanian dan kepemimpinan bekas serta pemimpin kini yang sudah menerima globalisasi sepenuhnya.

"ASEAN tidak akan dapat bertahan, apatah lagi berkembang maju di dunia hari ini, jika pemimpin dan rakyatnya tidak terbuka serta mengalukan pengaruh positif dari luar yang dapat disebatikan dengan baik dengan nilai dan norma di rantau ini," titahnya.

Baginda bertitah, cabaran keempat ialah untuk menjadi sebuah rantau yang berorientasikan dan berpusatkan rakyat, ASEAN perlu memberi keutamaan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Cabaran utama terakhir ialah ASEAN perlu menjadi inovatif dan relevan terutama kepada generasi akan datang.

"Pemimpin ASEAN perlu menyedari dan peka dengan perubahan mendadak yang berlaku di peringkat global. ASEAN perlu sensitif terhadap perubahan ini dan mampu menyesuaikan diri dengannya," titah baginda.

Ends

Berita Harian X