Rabu, 23 Ogos 2017 | 4:36pm
MURID yang mengambil bahagian dalam Cabaran Cashville Kidz bergambar bersama pegawai Maybank selepas penyampaian hadiah di Menara Maybank Penom Penh, Kemboja baru-baru ini.
MURID yang mengambil bahagian dalam Cabaran Cashville Kidz bergambar bersama pegawai Maybank selepas penyampaian hadiah di Menara Maybank Penom Penh, Kemboja baru-baru ini.
PENGERUSI Maybank Kemboja, Datuk Johan Ariffin menyampaikan hadiah kepada pemenang ketika majlis Grand Finale Cabaran Cashville Kidz di Menara Maybank Penom Penh, Kemboja, baru-baru ini.
PENGERUSI Maybank Kemboja, Datuk Johan Ariffin menyampaikan hadiah kepada pemenang ketika majlis Grand Finale Cabaran Cashville Kidz di Menara Maybank Penom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

Cashville Kidz diiktiraf kerajaan Kemboja

PHNOM PENH (KEMBOJA): Yayasan Maybank menempa sejarah tersendiri apabila menjadi institusi swasta luar pertama yang diberi kelulusan oleh Kerajaan Kemboja untuk memperluaskan program animasi celik kewangan, Cashville Kidz, ke sekolah kebangsaan di negara itu.

Kelulusan melalui Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan itu diberikan susulan kejayaan fasa perintis yang dilaksanakan di enam buah sekolah swasta dengan membabitkan seramai 984 murid, melebihi sasaran awal iaitu 800 murid.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata kelulusan itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha Maybank dalam membantu kanak-kanak seawal usia sembilan hingga 12 tahun mendapatkan pendidikan awal, di samping memberi kesedaran mengenai kepentingan wang dan cara betul menguruskannya.

Katanya, pendedahan awal penting dalam mempersiapkan diri mereka untuk berdepan dengan cabaran kewangan pada masa depan seterusnya melahirkan generasi celik wang.

"Cashville Kidz adalah program induk Yayasan Maybank dan di Malaysia kita sudah laksanakan sejak Februari 2013.

"Setakat ini, kira-kira 150,000 murid dari 170 sekolah mengambil bahagian dalam program yang turut mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menjadikannya sebagai salah satu aktiviti tambahan kokurikulum di sekolah berkenaan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada majlis pusingan akhir Cabaran Cashville Kidz di Menara Maybank Phnom Penh, baru-baru ini.

Yang turut hadir adalah Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, Pengerusi Maybank Kemboja, Datuk Johan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MoneyTree Asia Pacific, Michael Reyes.

Shahril Azuar berkata, keberkesanan program itu di Malaysia menjadi pencetus kepada Yayasan Maybank untuk mengembangkan ia ke negara ASEAN lain sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat dengan Kemboja dipilih sebagai negara mula.

Beliau berkata, idea melaksanakan program itu disambut baik selepas mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Kemboja (BNK) yang kemudian melancarkannya pada Disember 2016, sebelum dimulakan di sekolah swasta pada Februari lalu dengan peruntukan AS$165,000.

"Kita bernasib baik kerana menerima sokongan dan kelulusan daripada BNK. Alhamdulillah, kejayaan fasa pertama menambat hati Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja untuk memberi kelulusan kepada kita mengembangkan program ini ke fasa kedua yang akan dimulakan pada tahun depan," katanya.

Shahril Azuar berkata, pihaknya menyasarkan untuk masuk ke 12 buah sekolah dengan jumlah murid lebih ramai bagi fasa kedua, namun lokasi dan kaedah pelaksanaan masih di peringkat perbincangan dengan pihak kementerian.

Katanya, banyak perkara perlu diteliti terlebih dulu, termasuk sama ada mahu menjadikannya sebagai aktiviti kokurikulum seperti di Malaysia atau diserapkan sebagai antara subjek sistem pendidikan di sana.

"Kita menyasarkan 20,0000 murid dari 40 sekolah untuk menyertai program ini dalam tempoh empat tahun," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Im Koch menyambut baik usaha Kumpulan Maybank dan Yayasan Maybank dalam memperkenalkan Cashville Kidz di Kemboja.

Katanya, ia bukan hanya memberi fokus kepada celik kewangan, tetapi juga mencetuskan perbincangan antara ibu bapa dan anak mereka.

Selain itu, katanya, program berkenaan turut memberi sumbangan besar kepada matlamat kerajaan menambah bilangan penyumbang pendapatan sederhana tinggi menjelang 2030 seterusnya menjadikan Kemboja sebagai sebuah negara maju menjelang 2050.

Ketua Pengarah Bank Pusat, BNK, Chea Serey, berkata tahap celik kewangan di Kemboja masih rendah justeru, pengenalan program itu dengan kerjasama Yayasan Maybank adalah contoh baik sumbangan sektor swasta dalam memperhebatkan pendidikan kewangan di Kemboja.

CashVille Kidz adalah siri animasi kartun terbitan MoneyTree yang direka bertujuan bagi mengajar murid akan kepentingan wang sebagai persiapan untuk berdepan cabaran kewangan masa hadapan.

Siri itu memberi fokus terhadap pengajaran kewangan bermula daripada kepentingan menabung kepada tabiat berbelanja yang positif serta membuat pelaburan bijak.

Ia selaras dengan matlamat Yayasan Maybank untuk memperjuangkan celik kewangan di rantau ASEAN dengan mendidik murid menerusi siri animasi.

Berita Harian X