Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:46pm
DATUK Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid (dua kanan) pada majlis perlancaran Qlassic Portal di Royale Chulan Hotel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
DATUK Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid (dua kanan) pada majlis perlancaran Qlassic Portal di Royale Chulan Hotel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kualiti projek kerajaan dinilai sistem QLASSIC - Fadillah

KUALA LUMPUR: Pembinaan projek kerajaan seperti sekolah, hospital dan universiti akan dinilai menggunakan Sistem Penilaian Kualiti Bagi Projek Pembinaan (QLASSIC).

QLASSIC adalah sistem digunakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk memastikan projek menepati standard kualiti pembangunan seperti digariskan dalam dokumen CIS 7: 2014 (Construction Industry Standard).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penilaian itu sebagai satu penanda aras kualiti pembinaan projek berkualiti tinggi untuk dicontohi semua pemaju dan kontraktor di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini penilaian QLASSIC hanya membabitkan projek kediaman dan bangunan komersial kerana ia bukan mandatori atau diwajibkan.

"Kita mahu QLASSIC dikenali sebagai pengukur kualiti projek di negara ini, selaras sasaran Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) untuk Membudayakan Kualiti, Keselamatan & Profesionalisme dalam industri pembinaan," katanya.

Ketika ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menerima Anugerah Pengiktirafan Istimewa kerana menggunakan QLASSIC dalam projek mereka.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Hari QLASSIC 2017 dan menyampaikan anugerah kepada 43 projek pembinaan yang menepati syarat lebih 80 peratus QLASSIC, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha.

Fadillah berkata, sebanyak 311 projek dinilai QLASSIC pada 2016 berbanding hanya 270 projek pada 2015 dan kementerian menyarankan lebih banyak agensi kerajaan dan pemaju menggunakan sistem berkenaan.

"CIDB akan bantu beri latihan kepada pegawai terbabit untuk melaksanakan projek dengan QLASSIC," katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh memuat turun buku panduan "Quality Guidebook for Homeowners" secara percuma di Laman Web CIDB mulai hari ini.

Buku berkenaan diterbitkan bagi memberi pencerahan mengenai QLASSIC dan bagaimana pelaksanaan sistem penilaian berkenaan.

"CIDB juga sedang membangunkan portal QLASSIC sebagai sumber rujukan industri dan orang ramai yang akan dilancarkan pada 1 Januari ini," katanya.

Berita Harian X