Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:04pm
DATUK Seri Rohani Abdul Karim.- Foto Fariz Iswadi Ismail
DATUK Seri Rohani Abdul Karim.- Foto Fariz Iswadi Ismail

RM10 juta diperlukan bantu pesakit kanser payudara

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memerlukan RM10 juta bagi membantu meringankan beban pesakit kanser payudara di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata peruntukan itu antara lain bagi membiayai pembelian alat bantuan sokongan prostesis payudara dan pakaian dalam khas untuk pesakit selain program kesedaran.

"Difahamkan, kedua-dua alat bantuan ini bukan murah dan sangat diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pesakit, terutama selepas menjalani pembedahan mastektomi (buang payudara).

"Kita meletakkan peruntukan sebanyak RM10 juta dalam Bajet 2018 untuk membantu pesakit dan bekas pesakit kanser ini meneruskan kehidupan dengan lebih berkeyakinan," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan program PINK Wig-A-Ton di sini hari ini, beliau berkata, peruntukan itu tidak termasuk kos saringan ujian mamogram menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Sementara itu, katanya, Kajian Penduduk Keluarga Malaysia Kelima oleh LPPKN mendapati 75.4 peratus daripada 7,644 responden pernah melakukan pemeriksaan sendiri payudara.

"Statistik sama turut mendapati 64.5 peratus wanita mendapatkan pemeriksaan klinikal payudara di klinik atau hospital. Namun, hanya 19 peratus menjalani ujian saringan mamogram," katanya.

Mengenai program dilancarkannya, Rohani berkata, seramai 3,000 peserta dijangka menyertai acara itu yang bakal diadakan di Taman Botani, Kuala Lumpur pada 8 Oktober ini.

"Program ini salah satu sokongan kepada pesakit kanser payudara. Kementerian sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak dalam menjalankan program kesedaran mengenai penyakit ini selain membantu pesakit," katanya.

Berita Harian X