Jumaat, 11 Ogos 2017 | 11:58pm
 MANGSA banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Jalan Sungai Putat. - Foto Rasul Azli Samad
MANGSA banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Jalan Sungai Putat. - Foto Rasul Azli Samad

Mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 534 orang

MELAKA: Pembukaan dua pusat pemindahan baharu di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, di sini, menjadikan jumlah mangsa banjir terkini di Melaka meningkat kepada 534 mangsa, setakat jam 11 malam.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata dua pusat pemindahan baharu itu masing-masing di Surau Solok Bukit Baru, Melaka Tengah dan di Balai Raya Kampung Seri Jeram, Alor Gajah.

"Setakat jam 11 malam ini, sejumlah 534 mangsa banjir daripada 135 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin," katanya ketika dihubungi.

Sejumlah 255 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah; Balai Raya Peringgit (27), Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Paya Ikan (20) dan Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak (29).

Selain itu, Projek Perumahan Rakyat Krubong (83), Balai Raya Pengkalan Batu (31); Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel (61); Surau Solok Bukit Baru (13) dan Balai Raya Kampung Seri Jeram (15).

Hujan lebat berterusan selama lebih empat jam bermula jam 2 pagi tadi mengakibatkan ratusan penduduk dipindahkan di pusat pemindahan susulan banjir kilat yang melanda negeri ini.

Paras air di beberapa sungai utama, termasuk di Sungai Melaka dilaporkan meningkat secara mendadak sejak jam 4 pagi sehingga mengakibatkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air.

Berita Harian X