Isnin, 7 Ogos 2017 | 5:49pm
NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

PM saksi 14 pertukaran dokumen pelaburan ECER

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pertukaran dokumen antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan 14 pelabur asing dan domestik yang melabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Bangunan Parlimen, hari ini.

Pertukaran dokumen itu membabitkan wakil pelabur dengan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Dengan pertukaran dokumen itu, nilai pelaburan komited di ECER kini mencecah RM109.15 bilion, menghampiri sasaran pelaburan RM110 bilion pada 2020.

Susulan pemeterian perjanjian dan memorandum persefahaman itu, nilai pelaburan bernilai RM9.9 bilion dicapai membabitkan sektor pembuatan, pelancongan, bioekonomi dan hartanah.

Dalam masa yang sama, ECER kini sudah berjaya mewujudkan sebanyak 140,000 peluang pekerjaan, selain melahirkan seramai 26,000 usahawan berjaya di kawasan bandar dan luar bandar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor.

Dalam masa yang sama, pertukaran dokumen itu turut membabitkan syarikat Bumiputera di bawah program TERAJU@ECER.

Terdahulu, Najib mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC yang kedua untuk tahun ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa; Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob; Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Berita Harian X