Isnin, 7 Ogos 2017 | 1:55pm
TAN Sri Lee Lam Thye (tengah), Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai Meru, Mohd Hafiz Md Sharif bersama pelajar mengibarkan jalur gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik pada Sambutan Ambang Merdeka Ke 60 Bersama EcoWorld dan Star Media Group di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang.- Foto Faiz Anuar
TAN Sri Lee Lam Thye (tengah), Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai Meru, Mohd Hafiz Md Sharif bersama pelajar mengibarkan jalur gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik pada Sambutan Ambang Merdeka Ke 60 Bersama EcoWorld dan Star Media Group di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang.- Foto Faiz Anuar

Rukun Negara bukan sekadar hafalan

MERU: Prinsip Rukun Negara perlu dijadikan amalan dalam kalangan murid serta pelajar sekolah dan bukan sekadar hafalan ketika di alam persekolahan semata-mata.

Pengerusi Yayasan Ecoworld, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mengamalkan Rukun Negara adalah tanggungjawab setiap rakyat untuk menghormati dan mematuhi undang-undang tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

"Kita bukan sahaja menghafal dan menghormati tetapi melaksanakan dan mempraktikkan lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu.

"Justeru, apabila meninggalkan bangku sekolah, masuk ke alam sekolah menengah dan menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi dan alam pekerjaan kelak, kita menghormati antara satu sama lain.

"Di mana sahaja saya berada, saya selalu tegaskan kita mesti menghormati satu sama lain. Ini menjadikan negara kita kuat, kukuh dan dihormati negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Ambang Merdeka ke-60 bersama Ecoworld dan Star Media Group di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai Meru.

Program berkenaan disertai hampir 1,000 murid darjah empat, lima dan pra-sekolah membabitkan sekolah tuan rumah selain murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang North Hummock, Setia Alam dan SJK Cina Tiong Hua Kok Bin, Meru.

Selain persembahan kebudayaan, pengagihan 3,200 gelang #AnakAnakMalaysia, aktiviti Capan Tapak Tangan pada kain rentang oleh tetamu jemputan dan guru-guru turut nyanyian tiga lagu iaitu Jalur Gemilang, Tanggal 31 dan 1 Malaysia.

Lam Thye berkata, masyarakat majmuk, negara berbilang bangsa serta budaya bukan satu kelemahan sebaliknya ia satu kekuatan yang membuktikan penyatuan rakyat negara ini.

"Melalui program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) ini, kita hendak mengingatkan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda tanpa mengira keturunan Melayu, Cina, India bahawa Malaysia negara berbilang bangsa, agama dan budaya.

"Kita hendak terapkan ke hati sanubari setiap murid, setiap insan, setiap generasi di negara ini kerana tanggungjawab guru bukan sahaja memastikan kecemerlangan akademik tetapi melahirkan modal insan yang penting untuk masa hadapan negara kita," katanya.

Berita Harian X