Isnin, 7 Ogos 2017 | 12:03am
MOHD Aiman ketika bertugas membantu pelarian Syria di selatan Aleppo. - Foto ihsan MLL4S
MOHD Aiman ketika bertugas membantu pelarian Syria di selatan Aleppo. - Foto ihsan MLL4S

Mohon PR Turki bantu pelarian Syria

KUALA LUMPUR: Komitmen tinggi untuk membantu pelarian Syria yang terkesan dengan konflik perang saudara sejak Mac 2011 menyebabkan seorang petugas Malaysian Life Line For Syria (MLL4S) membuat keputusan memohon status penduduk tetap (PR) Turki.

Mohd Aiman Mohd Amir, 30, yang juga Ketua Media MLL4S, berkata status PR itu membolehkannya melakukan projek-projek kemanusiaan di sempadan Turki-Syria dan di dalam zon konflik itu dengan lebih mudah melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf kerajaan Turki seperti Bonyan Organization dan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV).

Mohd Aiman mendapat status penduduk tetap Turki pada April lalu selepas MLL4S membuat keputusan mengukuhkan hubungannya dengan agensi dan NGO Turki yang terbabit dengan pelarian Syria.

"Sejak 2012 hingga awal 2017, memang kita (MLL4S) tiada hubungan rasmi dengan Turki sebab berurusan secara langsung dengan individu atau NGO dari Syria. Pada Januari 2017 berlaku insiden yang tak dapat dielakkan, di mana CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Syahrir Azfar Saleh dan ahli misi musim sejuk ditangkap tentera Turki kerana melalui sempadan tanpa dokumen sah.

"Mereka ditahan dan dideportasi selama lima tahun. Selepas insiden itu, kita buat keputusan untuk ada hubungan rasmi dengan Turki sebab sempadan sudah tutup akibat ancaman Daesh. Kita masuk ke Syria dengan akses NGO Turki yang diberi kebenaran seperti TDV dan Bonyan," katanya kepada BH di Balai Berita NSTP di sini.

MOHD Aiman menunjukkan kad PR Turki yang memudahkan kerja-kerja MLL4S dalam membantu pelarian Syria di Turki. - Foto ihsan MLL4S
MOHD Aiman menunjukkan kad PR Turki yang memudahkan kerja-kerja MLL4S dalam membantu pelarian Syria di Turki. - Foto ihsan MLL4S

MOHD Aiman ketika bertugas membantu pelarian Syria di Turki. - Foto ihsan MLL4S
MOHD Aiman ketika bertugas membantu pelarian Syria di Turki. - Foto ihsan MLL4S

Konflik perang saudara di Syria kini masuk tahun ketujuh dengan 13.5 juta warga negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk 4.6 juta berada di kawasan kritikal. Lebih 5.1 juta warga Syria keluar dan melarikan diri dari Syria dan menjadi pelarian.

Daripada jumlah itu, kira-kira 3 juta kini berlindung di Turki yang bersempadan dengan Syria.

Mohd Aiman yang sudah lima kali masuk ke Syria, termasuk ke Aleppo, berkata beliau perlu menjalani proses saringan dan temuduga bagi mendapatkan PR Turki selain memenuhi syarat khas antaranya memiliki akaun bank di Turki dan tempat tinggal di negara itu.

Secara peribadi, Mohd Aiman berkata, krisis di Syria semakin rumit dan berpanjangan kerana ia menjadi medan perang proksi antara kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat dan Russia, sekali gus menjejaskan masa depan pelarian Syria.

Ditanya apakah pengalaman paling diingati sepanjang misi di Syria, Mohd Aiman berkata, beliau tidak akan melupakan saat melihat mayat-mayat yang putus kaki dan tangan akibat dibom tentera kerajaan dalam satu insiden di Aleppo pada 2014.

PROGRAM iftar MLL4S di Kilis, Turki dekat sempadan Syria. - Foto ihsan MLL4S
PROGRAM iftar MLL4S di Kilis, Turki dekat sempadan Syria. - Foto ihsan MLL4S

PROGRAM iftar MLL4S di Kilis, Turki dekat sempadan Syria. - Foto ihsan MLL4S
PROGRAM iftar MLL4S di Kilis, Turki dekat sempadan Syria. - Foto ihsan MLL4S

Ketika itu, Mohd Aiman bersama empat sukarelawan MLL4S berada di Hospital Abdul Aziz di Aleppo apabila berlaku pengeboman di sebuah pasar berdekatan yang mengorbankan ramai penduduk tempatan.

Sementara itu, Syahrir menyifatkan keputusan supaya Mohd Aiman memohon PR itu sebagai menunjukkan kesungguhan dan komitmen badan kemanusiaan itu dalam membantu pelarian Syria, khususnya di Turki dan di dalam Syria.

Syahrir berkata MLL4S menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM6.5 juta kepada pelarian Syria sejak awal 2013 dengan majoritinya tertumpu kepada program bekalan makanan, projek pendidikan, kesihatan dan bekalan air bersih.

Berita Harian X