Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:45pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diiringi Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid ketika hadir pada majlis perasmian MyRumah 2017 di Central, Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diiringi Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid ketika hadir pada majlis perasmian MyRumah 2017 di Central, Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

MyRumah 2017 pacu potensi

ALOR SETAR: The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) komited menyokong kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan Kedah terutama dalam memacu sektor perumahan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, mengakui kelebihan dimiliki baik dari segi dasar yang mesra pemaju dan pembeli, serta kemudahan jaringan pengangkutan dan infrastruktur sokongan, memberi kelebihan kepada sektor perumahan Kedah untuk terus berkembang.

"Harga tanah semakin meningkat dan permintaan untuk hartanah juga semakin tinggi, dengan segala kemudahan dan kelebihan dimiliki...landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar-Ipoh contohnya menyediakan kemudahan, menjadikan jarak untuk ke Kedah termasuk dari Pulau Pinang bukan lagi isu.

"NSTP sedia untuk terus memainkan peranan dalam mempromosi Kedah untuk melihat perubahan positif negeri ini dan Pameran Hartanah MyRumah 2017 (MyRumah 2017) yang pertama kali dibawa ke Kedah bermula hari ini adalah sebahagian daripada usaha ke arah itu dan kita mendapat sambutan dan sokongan cukup baik daripada pemaju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian MyRumah 2017 yang membuka tirai penganjurannya hari ini dan akan berlangsung sehingga Ahad di Central, di sini, yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kedah adalah destinasi ketiga MyRumah 2017 selepas Balai Berita NSTP di Bangsar pada Mac lalu dan Komtar JBCC di Johor Bahru pada Mei. Kali ini sembilan syarikat pemaju terbabit iaitu Aman Setia Group, Belleview Group, Bina Darulaman Berhad (BDB), Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramount Properties, Sunsuria Berhad dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd.Pempamer bukan pemaju pula ialah Aman Central, Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Cuckoo, Grab, LG, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lepro System Berhad.

Abdul Jalil berkata, NSTP dan Media Prima Berhad (Media Prima) melihat Kedah sebagai sebuah negeri yang cukup penting dari segi ekonomi dan juga politik.

"Untuk Kedah, NSTP mempunyai kira-kira 20 kakitangan tetap dan kira-kira separuh lagi berstatus sambilan. Untuk produk pula, Harian Metro mempunyai pembaca tertinggi mencecah 750,000, manakala BH pula memacu sektor pendidikan dengan 65 peratus sekolah di negeri ini melanggan akhbar itu.

"Kita juga mempunyai produk e-learning iaitu FullAMark yang mana kita alu-alukan mana-mana syarikat korporat untuk turut serta dalam program penajaan sekolah angkat," katanya.

Berita Harian X