Selasa, 1 Ogos 2017 | 5:30pm
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Benarkan pengembangan kajian ketum dalam perubatan: Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membenarkan usaha menggunakan kajian mengenai ketum bagi membolehkan potensi tumbuhan itu, khususnya dalam aspek perubatan, dikembangkan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata negara akan mengalami kerugian jika eksploitasi kajian itu diharamkan kerana tumbuhan itu memiliki permintaan dan nilai yang tinggi, khususnya di pasaran luar negara.

Katanya, kebimbangan terhadap salah guna ketum kini dapat diatasi menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

"Saya ada membuat kajian sendiri ketika bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu, selain berbincang dengan pakar dari universiti, termasuklah Universiti Malaya yang membuat penyelidikan (mengenai ketum).

"Menerusi kajian itu, saya mengetahui yang daun ketum memiliki ciri perubatan yang tinggi, selain perlunya mekanisme kawalan terhadap daun ketum.

"Kita jangan haramkan pengambilan dan eksploitasi kajian untuk ketum kerana kalau diharamkan, kita akan kerugian kerana tumbuhan bernilai tinggi ini tidak terdapat di banyak negara.

"Ketum adalah satu daripada biodiversiti, tumbuhan di negara kita yang tinggi nilainya serta mudah ditanam," katanya ketika ditemui di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan penjualan ketum, khususnya dalam aspek perubatan susulan kelulusan RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 yang berfungsi untuk mengawal selia aktiviti berkaitan sumber biodiversiti negara, selain mengatasi masalah kecurian dalam usaha menjana ekonomi negara pada masa hadapan.

Ketika membentangkan RUU itu, Wan Junaidi berkata, undang-undang berkenaan memastikan sumber biologi negara diakses dengan jaminan perkongsian faedah dan mengelakkan aktiviti 'biopiracy', iaitu pihak tertentu membangunkan sumber biologi negara tertentu tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara berkenaan.

Ketika sidang media, Wan Junaidi berkata RUU itu juga mengawal hasil biodiversiti negara daripada dieksploitasi saintis luar, dengan memperuntukkan hukuman sehingga RM500,000 dan 10 tahun penjara.

Katanya, pelbagai negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat (AS) banyak mendapatkan daun ketum daripada Malaysia untuk menjalankan kajian, sehingga timbul kebimbangan hasil kajian akan dipatenkan negara terbabit.

Bagaimanapun, katanya, RUU itu masih tidak mengizinkan ketum dikomersialkan kerana perkara itu masih di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.

Undang-undang ketika ini melarang penjualan air atau bahan diproses daripada tanaman ketum mengikut pindaan Akta Racun 1952.

Berita Harian X