Jumaat, 28 Julai 2017 | 11:50am

Ketahui bila, di mana dan jenis hartanah untuk pelaburan

KUALA LUMPUR: Seperti lain-lain industri, pasaran hartanah juga ada turun dan naik tetapi yang menariknya, tiada siapa yang berhenti dari membuat pelaburan. Persoalannya, bila, di mana dan jenis hartanah bagaimana untuk melabur?

Dengan kecanggihan teknologi yang menghasilkan kebanjiran maklumat di tangan kita, bagaimana kita membuat keputusan strategik sama ada untuk membeli, menjual atau menyewa?

"Memantau perkembangan industri hartanah di Malaysia adalah sesuatu yang sukar, terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang ini," demikian mengikut Pengasas Khalil Adis Consultancy dan bekas Pengarang Property Report, Khalil Adis.

Khalil Adis
Khalil Adis

"Saya akan membincangkan lapan trend hartanah yang perlu dipantau oleh setiap pelabur untuk baki tahun 2017," tambah Khalil.

Khalil adalah antara 30 penceramah dan pakar hartanah yang akan menyampaikan taklimat dan menyertai forum sempena Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah bermula 4 hingga 6 Ogos ini, dari 10 pagi hingga 10 malam.

Seorang lagi penceramah adalah Ketua Pelaburan Axis REIT Managers Bhd dan mantan Presiden, Institut Ejen Hartanah Malaysia, Siva Shanker.

Siva Shanker
Siva Shanker

Beliau akan menyentuh perubahan trend hartanah di Malaysia.

"Trend pasaran hartanah berubah dalam 40 tahun ini. Kadar perubahan semakin meningkat terutama sejak kebelakangan ini," kata Shanker yang akan menjadi penceramah pertama pameran yang berlangsung selama tiga hari ini.

"Pelabur yang peka perlu mengikuti rapat perubahan ini untuk terus berada di hadapan. Mereka mesti tahu apa yang perlu dipantau, apa perubahan yang bakal berlaku dan bagaimana untuk menandatanganinya bagi memastikan keuntungan pelaburan," tambah Shanker.

Pameran Hartanah MyRumah NSTP 2017 ini menawarkan pelbagai projek perumahan dan komersial oleh beberapa pemaju hartanah terkenal di kawasan utara.

Pameran ini adalah platform terbaik untuk orang ramai mendapatkan maklumat terkini tawaran dan pakej hartanah.

Berita Harian X