Selasa, 25 Julai 2017 | 3:20pm
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Persijilan halal Malaysia sukarela, terbuka semua

KUALA LUMPUR: Pensijilan halal Malaysia yang dijalankan ketika ini adalah bersifat sukarela dan terbuka kepada semua pemohon tanpa mengira status agama mahupun bangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata hanya pemohon yang memenuhi syarat dan mematuhi segala prosedur yang ditetapkan sahaja layak diberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Katanya, pemohon yang layak sahaja akan diberikan SPHM dan kebenaran menggunakan logo halal pada produk serta perkhidmatan yang dinyatakan dalam SPHM.

"Untuk makluman, peruntukan mengenai kawalan pensijilan, logo dan tanda halal adalah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

"APD 2011 memperakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sebagai pihak berkuasa berwibawa memberi pengesahan halal di Malaysia.

"Ini bermakna JAKIM, MAIN dan JAIN hanya mengeluarkan sijil pengesahan halal sahaja, " katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) berhubung cadangan untuk mengeluarkan sijil atau cap tidak halal ke atas barang yang diharamkan kepada umat Islam secara menyeluruh bagi memudahkan pengecaman dalam kalangan pengguna.

Berita Harian X