Selasa, 25 Julai 2017 | 11:48am
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Caj lewat bayar kredit baharu seragam, berpatutan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkenalkan formula pengiraan caj baharu yang seragam dan berpatutan bagi syarikat pemberi kemudahan kredit.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf peraturan perlindungan jualan kredit 2017.

Katanya, pengenalan caj bayaran lewat oleh syarikat pemberi kemudahan kredit bergantung kepada kadar inflasi dan dasar kewangan semasa.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bila formula itu akan diperkenalkan, sekadar memaklumkan caj baharu akan ditetapkan apabila kerajaan mewartakan peraturan.

"Biasanya, individu yang meminjam dikenakan caj walaupun terlewat sehari atau sebulan, antara RM10 sehingga RM40 sebulan.

"Atas dasar prihatin, kita menggubal peruntukan khusus dalam Akta Perlindungan Pengguna 2017.

"Pindaan Akta Perlindungan Pengguna 2017 memberi peluang kepada pemberian kemudahan kredit untuk mengenakan caj bayaran lewat," katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berhubung langkah KPDNKK dalam usaha melindungi peminjam yang dikenakan caj bayaran lewat oleh syarikat pemberi kemudahan kredit akibat kegagalan membuat pembayaran ansuran bulanan mengikut masa ditetapkan.

Berita Harian X