Khamis, 20 Julai 2017 | 4:53pm
AMAR Abang Johari Abang Openg diiringi Amar Douglas Uggah Embas meninjau Operasi Pemvaksinan Rabies di Dewan Batu 10 Padawan. - Foto Che Rani Che Din
AMAR Abang Johari Abang Openg diiringi Amar Douglas Uggah Embas meninjau Operasi Pemvaksinan Rabies di Dewan Batu 10 Padawan. - Foto Che Rani Che Din

Rabies: Sarawak bincang dengan Indonesia

PADAWAN: Kerajaan negeri Sarawak akan bertemu Konsulat Jenderal Indonesia di sini, esok bagi membincangkan langkah perlu untuk membendung penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Perbincangan itu akan diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata turut menyertai perbincangan itu, Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian serta pegawai kanan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Wabak ini dikenal pasti merebak dari negara jiran melalui haiwan peliharaan yang menyeberangi sempadan, sama ada anjing kita ke sana (Kalimantan) atau anjing dari sana yang masuk ke kawasan kita.

"Sebab itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan Indonesia untuk mencari kaedah berkesan menangani penularan wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau program vaksin anjing peliharaan di Dewan Masyarakat Batu 10, di sini, hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata, program berkenaan, dilakukan kerana kawasan Padawan kini dijadikan zon penampan bagi mengelak penularan ke kawasan bandar raya Kuching.

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan satu kes positif rabies dikesan di Siburan.

"Setakat ini sudah ada satu kes anjing positif rabies dikesan di Siburan dan kita bimbang ia akan menular ke kawasan lebih besar hingga Kuching.

"Kawasan Batu 10 ini terletak antara Siburan dan Kuching, sebab itu kita lakukan pemvaksinan di sini, hari ini," katanya.

Setakat ini, lima kes rabies disahkan di negeri ini dengan empat daripadanya sudah meninggal dunia manakala seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun, Serian, kini kritikal dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Berita Harian X