Rabu, 19 Julai 2017 | 6:02pm
NOH Omar menyerahkan replika cek Tabung Kemanusia Rohingya berjumlah RM 26,500 yang disumbangkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kepada Ketua Biro Berita Harian Cawangan Putrajaya, Magendran Rajagopal di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique dan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
NOH Omar menyerahkan replika cek Tabung Kemanusia Rohingya berjumlah RM 26,500 yang disumbangkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kepada Ketua Biro Berita Harian Cawangan Putrajaya, Magendran Rajagopal di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique dan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bomba hulur RM26,500 untuk tabung Rohingya-MPB

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyumbang RM26,500 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap penderitaan etnik minoriti di Myanmar itu.

Sumbangan disampaikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, kepada Ketua Biro BH Putrajaya, Magendran Rajagopal, ketika majlis sambutan Aidilfitri di perkarangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim serta Pengarah Bomba dan Penyelamat cawangan Pahang merangkap pengerusi Biro Kebajikan dan Kebudayaan (MASKAB), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Abdul Wahab berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan di semua cawangan Jabatan Bomba dan Penyelamat seluruh negara sejak empat bulan lalu.

"Selain melakukan kutipan di kalangan pegawai dan anggota di setiap negeri, kami turut mengadakan program khas untuk mengutip dana dan meletakkan tabung di setiap balai bomba untuk mengutip sumbangan orang ramai," katanya.

Menurutnya, ia bukan kali pertama pihak JBPM mengutip dana seumpamanya kerana pernah mengumpulkan sejumlah RM15,000 bagi membantu mangsa perang di Bosnia.

"Pada asalnya kami menetapkan sasaran RM15,000 untuk Tabung Rohingya ini, sama seperti yang kami lakukan untuk Tabung Bosnia. Alhamdulillah... sumbangan untuk tabung ini melebihi jangkaan," katanya.

Media Prima Berhad (MPB) melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima bagi mengumpul dana untuk membantu etnik Rohingya yang menjadi mangsa keganasan di Myanmar sejak November tahun lalu.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dengan memasukkannya ke akaun bernombor 5642-7652-2630 (Maybank), Maybank2u.com, pindahan wang melalui ATM, talian perbankan Kawanku, deposit tunai atau deposit cek di mesin Maybank serta kaunter Maybank.

Sumbangan melalui cek atas nama Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima boleh dibuat di Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima di Tingkat 1, Anjung Riong, 31 Balai Berita, Jalan Riong 59100, Bangsar, Kuala Lumpur.

Bagi maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03-2724 8959/8957 atau layari www.mediaprima.com.my/donate-for-rohingya.

Berita Harian X