Sabtu, 8 Julai 2017 | 10:05pm

Pendidikan kaedah terbaik tangani kemiskinan, keciciran

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Seminar Motivasi Untuk Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Bagan Datuk, malam ini. - Foto Muhaizan Yahya
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Seminar Motivasi Untuk Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Bagan Datuk, malam ini. - Foto Muhaizan Yahya

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cara terbaik untuk menangani kemiskinan ialah menerusi pendidikan yang dapat mengelakkan keciciran dalam kalangan remaja sehingga menimbulkan masalah sosial.

Timbalan Perdana Menteri berkata, remaja yang tercicir dan tidak dapat menyambung pelajaran akan tinggal di rumah dan bergaul dengan rakan sebaya yang boleh terjerumus kegiatan jenayah.

"Saya minta maaf cakap, di Malaysia ini, apabila sebut kegiatan gangsterisme, orang akan ingat masyarakat India, apabila masalah dadah ia merujuk kepada orang Melayu dan orang Cina dikaitkan dengan judi.

"Kita tidak mahu ini berlaku dan mahu generasi kita tidak terbabit dengan jenayah dan mengikut kaum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Motivasi Untuk Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Bagan Datuk di sini malam ini.

Seramai 150 murid sekolah jenis kebangsaan Tamil di daerah Bagan Datuk menyertai seminar sehari itu siang tadi.

Ahmad Zahid berkata, sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk beliau adalah 'buta warna' dan mahu semua anak Bagan Datuk tanpa mengira kaum dan agama dibantu supaya cemerlang dalam pendidikan daripada peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau berkata, program motivasi pendidikan di semua peringkat sudah dilaksanakan sejak tahun 1984 ketika menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk dan memberi komitmen akan meneruskan program itu.

"Mana ada Ahli Parlimen di Malaysia yang memperuntukkan RM500,000 setahun hanya untuk melaksanakan program motivasi pelajar (seperti) di daerah Bagan Datuk," katanya.

Berita Harian X