Jumaat, 30 Jun 2017 | 7:35pm

2 bayi melecur terkena air dan minyak panas

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kiri) bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah (kiri) melawat seorang bayi lelaki berusia 10 bulan yang menerima rawatan akibat melecur terkena air rebusan ketupat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, Bukit Palah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan melecur lebih 50 peratus selepas terkena air rebusan ketupat dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Difahamkan, ketika kejadian bayi itu dilaporkan sedang berada di dalam kerusi bayi sebelum dia bertindak mencapai periuk rebusan ketupat.

Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku di rumah keluarganya di Ayer Keroh, pada petang sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata bayi lelaki itu kini berada dalam keadaan stabil, selain masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini.

"Keadaan dia sudah stabil tetapi dia masih belum sedar kerana pengaruh ubat yang diberikan.

"Kemalangan ini tidak dijangka dan diharap dia dapat sembuh dalam masa terdekat," katanya yang meluangkan masa melawat bayi berkenaan di wad ICU, Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Idris berkata, seorang lagi bayi lelaki berusia lapan bulan turut dilaporkan melecur kira-kira 22 peratus selepas terkena minyak panas.

"Saya menasihatkan ibu bapa supaya memberi sepenuh perhatian kepada anak masing-masing terutama ketika musim perayaan ini. Kita mendoakan kedua-dua bayi ini akan segera sembuh," katanya.

Berita Harian X