Rabu, 14 Jun 2017 | 6:31pm

Penanam Harumanis jangan terlalu harapkan FAMA

MEMPELAM harumanis. - Foto Azhar Ramli
MEMPELAM harumanis. - Foto Azhar Ramli

PUTRAJAYA: Penanam mangga Harumanis perlu memahami konsep rantai nilai perniagaan supaya tidak lagi mengharapkan FAMA untuk membeli lambakan buah itu apabila tidak terjual di pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pengusaha tanaman berkenaan seharusnya sudah membuat perhitungan mengenai permintaan buah yang terkenal di Perlis itu.

Katanya, sekiranya ada pihak tertentu mahu harga mahal dikekalkan, mereka perlu membawa sendiri buah berkenaan kepada pemborong dan bersedia bersaing dengan mangga import lain yang dijual pada harga lebih berpatutan.

"Dalam hal ini, ada yang marah FAMA kerana tidak membeli hasil tanaman mereka tetapi FAMA tidak boleh beli pada harga terlalu tinggi sehingga FAMA tidak boleh jual semula.

"Pengusaha perlu tahu bahawa FAMA kena ada harga tertentu, jika FAMA hanya beli dan tidak boleh jual semula, masalah yang sama akan berlaku pada FAMA pula, akibatnya terjadinya lambakan pada pihak FAMA.

"Permintaan dan penawaran ini boleh dirancang lebih awal tetapi ada pihak tertentu menganggap ini adalah buah eksklusif negeri Perlis, orang lain tidak boleh tanam, sudah tentu mereka lebih arif untuk mengelakkan masalah ini berulang," katanya di sini.

Terdahulu, beliau mengagihkan bubur lambuk kepada warga kementeriannya sempena program Festival Ramadan@MOA di perkarangan Wisma Tani.

Ahmad Shabery berkata demikian mengulas laporan media mengenai masalah lambakan Harumanis di Perlis sehingga ada buah yang menjadi busuk di pokok dan terpaksa dibakar.

Beliau menjelaskan, meskipun terdapat pihak tertentu pernah menghentam FAMA sebagai cuba mensabotaj Harumanis, pihaknya sedia membantu sekiranya ada pihak datang meminta pertolongan.

Sementara itu, berhubung isu eksport sarang burung walit ke China, Ahmad Shabery berkata, kerajaan China sudah menambah tujuh lagi perkara menjadikan 35 prosedur bagi membolehkan sarang burung walit mentah dapat dieksport ke negara berkenaan.

"Bagi sarang burung walit yang sudah diproses, penggantungan sementara yang dikenakan sebelum ini sudah ditarik balik," katanya.

Berita Harian X