Sabtu, 10 Jun 2017 | 8:26pm

PM garis 3 prinsip penyelesaian FGV

NAJIB melawat rumah generasi kedua sempena Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua Felda di Felda Sungai Sayong, Kulai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
NAJIB melawat rumah generasi kedua sempena Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua Felda di Felda Sungai Sayong, Kulai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KULAI: Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga prinsip penyelesaian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan mahu isu itu diselesaikan segera sebelum Ramadan berakhir.

Perdana Menteri berkata, paling utama, penyelesaian isu itu mesti mematuhi undang-undang syarikat selaras kedudukan FGV yang disenaraikan di bursa saham.

"Prinsip penyelesaian kedua, ia mesti selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik.

"Ketiga, proses yang nak dilakukan sehingga kebuntuan keputusan muktamad mesti melalui proses yang adil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya Ramadan FELDA peringkat kebangsaan 2017 dan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, di FELDA Sungai Sayong di sini, malam ini.

Najib berkata, isu itu sudah dibincang dengan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad dan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

"Kita melantik Datuk Seri Idris Jala untuk menjalankan siasatan terhadap apa yang berlaku berpandukan tiga prinsip yang saya sebutkan ini.

"Ini bagi memastikan fakta yang dapat kita tentukan itu adalah fakta yang tepat dan akhirnya kita

dapat buat keputusan.

"Saya mengharapkan isu ini diselesaikan secepat mungkin, saya ingat dapat selesaikan pada bulan Ramadan ini juga," katanya.

Najib berkata, penyelesaian kemelut itu dapat memastikan FGV mencapai matlamat menjadi badan korporat yang bernilai tinggi dan mempunyai keuntungan besar.

 

 

Berita Harian X