Sabtu, 10 Jun 2017 | 7:09pm

PM lawat Projek RMR1M FELDA Sungai Sayong

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan warga Felda ketika hadir ke Program Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Felda Sungai Sayong, Kulai. - Foto Hairul Anuar Rahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan warga Felda ketika hadir ke Program Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Felda Sungai Sayong, Kulai. - Foto Hairul Anuar Rahim

KOTA TINGGI: Datuk Seri Najib Razak tiba di FELDA Sungai Sayong dekat sini sebentar tadi, bagi melawat Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua FELDA di tanah rancangan berkenaan.

Turut mengiringi ketibaan Perdana Menteri pada jam 6.11 petang tadi ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Ahli Parlimen Tenggara.

Hadir sama, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Projek itu adalah kerjasama antara FELDA dan SPNB yang disiapkan secara berperingkat mulai 2013, membabitkan 191 unit.

Jumlah keseluruhan kos yang dibelanjakan berjumlah RM33 juta, dan daripada jumlah itu kira-kira RM9 juta disumbangkan Kerajaan Pusat sebagai subsidi.

FELDA pula membelanjakan kira-kira RM4 juta bagi tujuan infrastruktur bekalan air.

Pada April lalu, SPNB dan FELDA turut menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membina 20,000 unit rumah generasi baharu FELDA pada masa hadapan.

Pada lawatan itu, Najib turut mendengar taklimat daripada Koperasi FELDA Sungai Sayong.

Perdana Menteri kemudian dijadualkan merasmikan Program Ihya Rahmat Ramadan FELDA Peringkat Kebangsaan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong, di sini.

Berita Harian X