Ahad, 4 Jun 2017 | 2:34pm

Puntung dimatikan menerusi suntikan

BADAK Sumatra betina dikenali sebagai Puntung bertambah kritikal akibat kanser sel skuamus. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
BADAK Sumatra betina dikenali sebagai Puntung bertambah kritikal akibat kanser sel skuamus. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

suzianah@bh.com.my

KOTA KINABALU: Puntung, satu daripada tiga badak sumbu Sumatra terakhir di Malaysia, mati susulan diberi suntikan menerusi operasi euthanasia selepas menderita barah sel skuamus atau barah kanser kulit di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, jam 7 pagi tadi.

Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata euthanasia terpaksa diawalkan daripada tarikh yang dirancang iaitu pada 15 Jun ini untuk menamatkan penderitaan dialami badak sumbu betina itu yang dianggarkan berusia 25 tahun.

"Sel barah dialami Puntung semakin membesar daripada segi saiz selain mengalami kesukaran bernafas. Selepas berunding dengan penasihat pembiakan badak di Institut Leibniz untuk Zoo dan Penyelidikan Hidupan Liar di Berlin dan pihak lain, kami mengambil keputusan menamatkan penderitaan Puntung yang semakin meningkat.

"Keadaan Puntung itu menyebabkan keputusan untuk euthanasia diawalkan pagi tadi daripada tarikh pada 15 Jun ini," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Puntung menarik perhatian dunia pada April lalu menerusi pembedahan pergigian oleh pasukan pakar pelbagai negara di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin selepas mengalami bengkak di pipi kiri yang membawa kepada pengesanan akar giginya dijangkiti kuman.

Ia kemudian disahkan menghidap barah kulit dan keadaannya semakin kritikal menyebabkan Jabatan Hidupan Liar mengambil keputusan untuk melakukan euthanasia dengan nasihat perubatan profesional.

Augustine berkata, bagi membolehkan Puntung menyumbang sesuatu kepada survival spesies itu, ovarinya akan dihantar ke Institut Agro Bioteknologi di Serdang, Selangor.

"Pada masa sama, pakar pembiakan dari Indonesia, Prof Arief Boediono akan datang dari Jakarta untuk mengambil sel telur yang mungkin ada," katanya.

Sementara itu, Augustine berkata, penjaga Puntung iaitu Wilson Kuntil, Hassan Sani dan Samad Gubin telah tidur selama seminggu dengan Puntung di pusat perlindungannya di hutan dalam usaha pemantauan selama 24 jam.

Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 pernah cuba dibiakkan dengan seekor lagi badak jantan dinamakan Tam, namun gagal disebabkan masalah dalam sistem pembiakannya.

Badak sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat kira-kira 35 tahun.

Berita Harian X