Ahad, 28 Mei 2017 | 7:30am

FMBH '17 sedia pemeriksaan percuma payudara

KLINIK bergerak 'inflatable igloo' oleh BCWA.
KLINIK bergerak 'inflatable igloo' oleh BCWA.

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) akan menyediakan perkhidmatan percuma pemeriksaan payudara pada wanita yang mengunjungi Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH '17), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 2 hingga 4 Jun ini.

Pengurus Pasukan Perkhidmatan Komuniti BCWA, Datin Zainab Abdullah, berkat BCWA akan membawa khemah khas, 'inflatable igloo' yang bertindak sebagai klinik bergerak untuk melakukan pemeriksaan kepada pengunjung wanita.

Katanya, di dalam 'inflatable igloo' itu, jururawat terlatih bagi melakukan pemeriksaan dan mengajar pengunjung bagaimana cara mengesan ketulan pada payudara, masa yang tepat, selain penerangan berkaitan penyakit paling digeruni wanita.

"BCWA akan melakukan demonstrasi pemeriksaan menggunakan payudara silikon supaya pengunjung lebih memahami dengan jelas kaedah yang betul supaya wanita boleh melakukan sendiri pada bila-bila masa.

"Kita juga akan mengedarkan risalah kesedaran mengenai pemeriksaan payudara secara percuma yang kita ada dengan kerjasama pihak tertentu.

"Di samping orang ramai membeli-belah di SACC, BCWA mengambil kesempatan menjalankan kempen kesedaran ini. Saya percaya ini antara tarikan pengunjung dalam usaha memberi kesedaran melakukan pemeriksaan awal dan memberi pendidikan kesihatan mengenai payudara," katanya kepada BH.

Datin Zainab berkata, BCWA turut menawarkan barangan seperti kemeja T bernilai RM15 dan stokin berharga RM10 untuk dibeli oleh pengunjung dalam usaha membeli sambil menderma.

"Barangan BCWA mempunyai lambang riben merah jambu sebagai identiti dan sekali gus menunjukkan bahawa anda memberi sokongan kepada persatuan kami.

"Hasil jualan itu, kami akan beli pelbagai alat sokongan untuk diberikan kepada pesakit. Justeru, BCWA mengalu-alukan pengunjung yang sudi membeli sambil menderma kerana ini antara tanda kita membantu tanpa disedari," katanya.

FMBH'17 edisi ketiga ini menyediakan 100 gerai jualan yang menjual pelbagai barangan di samping persembahan nyanyian daripada artis popular tempatan.

Kali pertama, FMBH diadakan di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015) dengan lebih 25,000 pengunjung.

Berita Harian X