Jumaat, 26 Mei 2017 | 5:46pm

NIOSH perkenal standard keselamatan kerja ruang terkurung

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) kini bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) memperkenalkan standard kebangsaan bagi keselamatan kerja-kerja membabitkan ruang terkurung.

NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad

Menerusi kerjasama itu, permit akan diberi kepada mereka yang kompeten dengan pekerja perlu memasuki ruang terkurung mesti mempunyai sijil dikenali sebagai 'Orang yang Dibenarkan Masuk dan Orang Menjaga Bagi Ruang Terkurung' (AESP).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu diambil susulan beberapa insiden maut dalam ruang terkurung kebelakangan ini yang menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pekerja dalam persekitaran sedemikian termasuk tangki simpanan, kapal tangki dan dandang.

Katanya, insiden terbabit menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan pekerja dan majikan serta kontraktor yang perlu disiasat bagi memastikan mereka mematuhi peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

"Orang yang menyelia aktiviti mereka pula mesti mempunyai AESP dan sijil Penguji Gas Bertauliah dan Penyelia Kemasukan Bagi Ruang Terkurung (AGTES).

"Hanya mereka yang mempunyai sijil ini daripada pembekal latihan yang diluluskan seperti NIOSH, dibenarkan menjalankan kerja di ruang terkurung," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Lam Thye berkata, majikan yang gagal menyediakan persekitaran kerja selamat dan sihat boleh didakwa mengikut Seksyen 15 OSHA, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

"Di bawah OSHA, 'pekerja' termasuk mereka yang diambil bekerja oleh kontraktor dilantik oleh syarikat terbabit.

"Majikan perlu memastikan pekerja mereka disahkan layak untuk memasuki ruang terkurung dan mematuhi garis panduan di bawah Kod Amalan Bekerja Selamat Di Ruang Terkurung (ICOP) 2010.

"Di bawah ICOP, majikan dan kontraktor perlu membuat penilaian risiko keselamatan dan kesihatan yang bakal dihadapi dan mengambil segala langkah munasabah untuk mengelak risiko boleh dijangka," katanya.

Dalam kejadian terbaharu di Tawau, baru-baru ini, tiga lelaki maut terhidu asap dari kerja kimpalan ketika membaiki kebocoran pada tongkang di jeti Kampung Apas Parit.

Pada 17 April, dua lelaki maut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah lubang saluran air di depan sebuah pusat beli-belah di Ipoh, manakala 13 Februai lalu seorang pekerja kapal kargo Vietnam maut dan tiga yang lain dimasukkan ke hospital selepas terhidu asap toksik dalam bilik simpanan beras kapal itu di Pelabuhan Kota Kinabalu.

Berita Harian X