Jumaat, 26 Mei 2017 | 3:16pm

Projek sekolah terbengkalai diteruskan di tapak baharu

DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Hafizudin Mohd Safar
DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Hafizudin Mohd Safar

TUARAN: Kementerian Pendidikan akan menangani segera isu kekurangan sekolah menengah yang menjejaskan penduduk kawasan luar bandar, termasuk projek sekolah terbengkalai akibat faktor tapak di Sabah.

Ia termasuk projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Nabalu, di sini, yang terbengkalai sejak tahun 2014 selepas Jabatan Geosains dan Mineral mendapati tapak sekolah terbabit tidak selamat kerana berlaku pergerakan dalam bumi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata projek bernilai RM30 juta itu yang pembinaannya dimulakan pada tahun 2012 dan mencapai 20 peratus siap pada tahun 2014 terpaksa dihentikan.

Katanya, situasi itu melambatkan proses menyiapkan sekolah menengah yang bakal menampung keperluan 15 sekolah rendah di sekitar Zon Nabalu, di sini, berikutan perlu mencari tapak baharu yang sesuai.

"Kerajaan sudah membayar kira-kira RM5 juta kepada kontraktor bagi projek pembinaan sekolah itu tetapi atas faktor keselamatan, ia dihentikan menyebabkannya terbengkalai.

"Bagaimanapun, kita sudah mengenal pasti tapak baharu seluas kira-kira sembilan hektar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Giok, di sini.

"Kerja pembinaan akan dimulakan selepas semua proses, termasuk reka bentuk bangunan diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak baharu sekolah menengah berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata tapak baharu sekolah itu yang berstatus tanah hak adat anak negeri (NCR) akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan selepas semua penduduk yang menuntut hak terhadap tanah terbabit menandatangani surat kebenaran penyerahan tanah.

"Setakat ini, ada lima lagi penduduk belum menandatanganinya. Kita berharap pihak kampung dapat menyelesaikan perkara ini segera supaya projek pembinaan semula sekolah menengah ini dapat dimulakan secepat mungkin," katanya.

Selain melawat tapak baharu SMK Pekan Nabalu, Mahdzir dan Madius turut melawat pelaksanaan Projek Perintis Inisiatif Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE) di SK Mengkabong dan menghadiri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di SK Lokos, Kiulu, di sini.

Berita Harian X