Selasa, 23 Mei 2017 | 9:10pm
MOHD Jaafar Juman. - Foto Aizuddin Saad
MOHD Jaafar Juman. - Foto Aizuddin Saad

NTP: AIM bantu peserta raih pendapatan RM1j setahun

KUALA LUMPUR: Membeli lampin pakai buang untuk anak yang masih kecil, mendorong Mariam Hussin menceburi bidang perniagaan sehingga berjaya memperoleh keuntungan mencecah RM1 juta sebulan.

Mariam antara individu yang menerima manfaat daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), badan yang membantu peniaga kecil untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Antara manfaat diperolehnya daripada AIM ialah bantuan promosi, latihan dan kursus, penerangan mengenai produk beliau kepada sahabat AIM, pinjaman tambahan serta pembayaran pinjaman AIM tidak membebankan.

MARIAM Hussin menyusun lampin pakai buang di pejabat Bosomi Dataran Selayang.- Foto Hafiz Sohaimi
MARIAM Hussin menyusun lampin pakai buang di pejabat Bosomi Dataran Selayang.- Foto Hafiz Sohaimi

Mariam memulakan perniagaan lampin pakai buang sejak 2003 dengan mendapatkan bekalan daripada Korea Selatan dan dipasarkan di kedai runcit selain menerusi dalam talian melalui laman web seperti Mudah.com.

Kini beliau mengeksport lampin pakai buang ke negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Sebelum menceburi bidang perniagaan lampin pakai buang, Mariam melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk berniaga besi buruk dengan pendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan.

"Apa saja yang boleh dibuat duit, saya buat," katanya yang kini mengimport sehingga lima kontena lampin pakai buang daripada pembekalnya di Korea Selatan.

Mariam menasihatkan individu berpendapatan rendah yang ingin menceburi perniagaan supaya mengambil peluang menggunakan kemudahan disediakan AIM.

Sementara itu, Mohd Jaafar Juman dari Tanjung Karang, Selangor yang menerima manfaat daripada program 1Azam Tani berjaya meningkatkan pendapatan bulan daripada RM1,000 kepada RM10,000.

Bantuan yang diperoleh membolehkan peniaga buah-buahan itu menaik taraf kanopi dan rak peragaan di gerainya, selain membeli alatan baharu seperti mesin pemeras tebu dan mesin daftar tunai.

Seorang lagi peserta program 1Azam Tani, Akrab Hassan yang menghasilkan produk makanan berasaskan kelapa kini berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 sebulan, berbanding RM600 sebelumnya.

Program 1Azam Tani juga membolehkan Madrasah Tahfiz Anak Yatim/Miskin Raudhatul Baiduri yang menjalankan projek penanam rock melon menjana pendapatan tinggi iaitu RM39,000 melalui enam kitaran penuaian sejak Julai 2015.

Berita Harian X