Sabtu, 20 Mei 2017 | 1:02pm

Salah laku boleh runtuh pencapaian cemerlang negara

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke majlis Santapan Tengahari Meraikan Warga Pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2017 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke majlis Santapan Tengahari Meraikan Warga Pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2017 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rekod pencapaian kemajuan negara selama enam dekad boleh diruntuhkan dalam satu dekad melalui pelbagai salah laku yang mengakibatkan ketirisan sumber.

 Titah baginda, oleh itu, membina insan berintegriti, insan jujur, insan amanah dan insan yang telus adalah satu kemestian dan satu kewajipan.

"Ia bukan sahaja untuk mengelakkan musang agar tidak berbulu ayam tetapi untuk memastikan tidak akan ada ayam yang bersifat musang.

"Seramai 435,000 guru yang berada di sekolah, adalah tenaga besar yang boleh memulakan langkah gergasi untuk membendung barah rasuah dengan menyemaikan nilai memusuhi rasuah di kalangan anak didik," titah baginda pada Majlis Santapan Tengah Hari Meraikan Warga Pendidik Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sultan Nazrin bertitah, sekolah adalah medan tempur penting untuk memenangi minda warga muda dan guru adalah tentera yang berada di barisan hadapan, dipertanggungjawabkan untuk mencanai minda dan membentuk watak warga muda.  

Titah baginda lagi, oleh itu, input guru amat penting dan tidak boleh disisihkan ketika menggubal dasar berkaitan pendidikan.

"Ilmu peperangan menetapkan bahawa input daripada soldadu yang berada di medan tempur lebih berharga daripada andaian para pemikir yang berada di ruang istana.  

"Putrajaya akan berupaya menggubal dasar yang lebih mantap, jika rintihan daripada soldadu bawahan, yang bertugas di sekolah di Banun dan Kemar, di Trong dan Kuala Sepetang, di Pos Piah dan Pos Legap, di Ulu Geruntum dan Seri Tanjung, turut diberikan pendengaran sewajarnya," titah baginda.

Baginda bertitah, jika terdapat jurang yang terlalu jauh di antara realiti di medan tempur dengan andaian di pusat kawalan, dibimbangkan dasar menjadi tempang dan arahan kelihatan songsang.  

Berita Harian X