Isnin, 15 Mei 2017 | 10:41pm

Peserta 15 tahun buka tirai tilawah antarabangsa

PESERTA dari Mesir, Taha Ezat Basyony Awad Ibrahim memperdengarkan bacaannya ketika Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Khairul Azry
PESERTA dari Mesir, Taha Ezat Basyony Awad Ibrahim memperdengarkan bacaannya ketika Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Khairul Azry

KUALA LUMPUR: Enam peserta, termasuk dua qariah membuka tirai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59, malam ini.

Mereka adalah Taha Ezat Basyony Awad Ibrahim dari Mesir; Khairunnisah Husni Ajis (Indonesia); Thu Zar Lwin (Myanmar); Mohammed Elias Keeler Roncero (Sepanyol); Mohamiden Umpong (Filipina) dan perserta Rusia, Yusof Abidov.

Taha Ezat, 15, juga adalah peserta paling muda dan menjadi peserta pertama yang memperdengarkan bacaan surah Al-Imran bermula ayat 100.

Ditemui media sebaik selesai bacaan, beliau mengakui gementar pada mulanya, apatah lagi ia adalah kali pertama menyertai acara antarabangsa sejak mula membabitkan diri dalam tilawah empat tahun lalu.

Menjadikan ayahnya sebagai inspirasi, Taha Ezat berjaya menghafal keseluruhan 30 juzuk al-Quran pada usia 13 tahun.

"Saya mula membaca dan menghafaz al-Quran pada usia enam tahun dan berjaya menghafaz semua 30 juzuk di usia 13 tahun.

"Selain ayah, guru dan pembimbing bacaan al-Quran saya adalah Sheikh Mohamad Solah (antara juri pada MTHQA kali ini)," kata pelajar Madrasah Al-Azhar, Buhairah, Keherah, ini.

Bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan', MTHQA Ke-59 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung hingga Sabtu.

Ia disertai 38 peserta bagi kategori Tilawah al-Quran dan 30 peserta bagi kategori menghafaz al-Quran, membabitkan 55 negara, termasuk Malaysia.

Majlis pembukaan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir; timbalannya, Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Acara bermula dengan persembahan pembukaan Johan Tilawah Peringkat Negeri Kelantan 2017, yang juga pemenang ketiga Tilawah Peringkat Kebangsaan 2017, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 18.

Muhammad Qayyim, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan memperdengarkan bacaannya menggunakan al-Quran Braille.

Berita Harian X