Jumaat, 5 Mei 2017 | 7:24pm

Larian bendera UMNO di lima bahagian meriah

KUALA TERENGGANU: Konvoi bendera yang diadakan di lima bahagian UMNO di negeri ini meriah, walaupun acara larian dan kayuhan terpaksa ditukar kepada acara berkonvoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Acara larian dan kayuhan terpaksa ditukar bagi mengelak lebih 12,000 peserta terdiri daripada ahli Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri terkena strok haba berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini.

Acara larian bendera sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 peringkat negeri bermula di Besut dan berakhir di Kuala Terengganu petang ini.

Pada acara pagi tadi, Naib Ketua UMNO bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman menyerahkan bendera kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri merangkap Ketua Pemuda UMNO Hulu Terengganu, Johari Abu Bakar di hadapan Pejabat UMNO bahagian Hulu Terengganu.

NAIB Ketua UMNO bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman (kanan) melepaskan peserta larian bendera UMNO di sempadan daerah Setiu ke Hulu Terengganu sempena program larian bendera UMNO zon pantai timur sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Kampung Teris. - Foto Mohd Yusni Ariffin
NAIB Ketua UMNO bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman (kanan) melepaskan peserta larian bendera UMNO di sempadan daerah Setiu ke Hulu Terengganu sempena program larian bendera UMNO zon pantai timur sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Kampung Teris. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Larian bendera diteruskan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib.

Peserta yang menaiki lebih 150 kenderaan pacuan empat roda ke DUN Manir kemudian disambut oleh Pengerusi Penyelaras DUN Manir, Yusof Awang Hitam.

Acara larian bendera diteruskan ke Kuala Nerus dan konvoi disambut oleh Timbalan Ketua UMNO bahagian Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail di Dataran Austin.

Acara konvoi bendera ditukar kepada larian apabila Basir yang juga Pegawai Pembangunan Kuala Nerus yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengetuai larian sejauh kira-kira 25 kilometer untuk menyerahkan bendera kepada Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi sebentar tadi.

Larian bendera diketuai Basir dan disertai lebih 2,000 peserta disambut oleh Mohd Sabri yang juga Pegawai Pembangunan DUN Ladang.

Turut menyambut ketibaan Basir dan peserta adalah Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Ariff, Ketua Wanita UMNO bahagian, Rozalina Mokhtar dan Ketua Pergerakan Puterinya, Nia Notieya Zainuddin.

Berita Harian X