Jumaat, 28 April 2017 | 11:33am

3 NGO bantu lindungi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhilitan memeterai perjanjian dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menjalankan kajian populasi Harimau Belang bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah sebenar haiwan berkenaan yang ada di Semenanjung Malaysia.

Abdul Kadir Abu Hashim
Abdul Kadir Abu Hashim

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiga NGO itu adalah Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PPAM), World Wildlife for Nature (WWF) Malaysia, serta Wildlife Conservation Society (WCS) yang mana mereka akan membantu jabatan bersama-sama menjalankan Survei Harimau Kebangsaan Pertama.

Katanya, kajian itu adalah antara program dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (PTPHK), Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang antara lain bertujuan mendapatkan populasi terkini Harimau Belang dan mengenalpasti lokasi habitat penting haiwan itu yang masih menghuni di hutan negara kita.

"Pelan itu diguna pakai bagi memastikan spesies Harimau Malaya kekal hidup liar di habitat asal dengan sasaran peningkatan populasi sehingga 1,000 ekor pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ketika ini, dianggarkan populasi Harimau Malaya adalah antara 250 hingga 340 berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama NGO seperti WWF-Malaysia, WCS dan MYCAT di tiga habitat utamanya di Semenanjung Malaysia meliputi Taman Negara (Pahang, Terengganu dan Kelantan), Belum-Temenggor (Perak) dan Endau-Rompin (Johor).

Abdul Kadir berkata, kajian yang dijalankan pada kali ini membabitkan tiga habitat utama Harimau Malaya serta seluruh hutan simpan di Semenanjung Malaysia dan menjadi kajian berskala besar yang julung kali dilaksanakan di negara ini.

Katanya, jabatan bersama dengan beberapa Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk mewartakan beberapa kawasan sebagai kawasan perlindungan khusus untuk pemuliharaan flora dan fauna termasuk Harimau Malaya.

"Sehingga kini terdapat hampir 6,000 kilometer persegi kawasan perlindungan yang juga habitat haiwan yang penting untuk dilindungi di negara ini serta diiktiraf di peringkat global bagi pemuliharaan Harimau Malaya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memahami kepentingan menjaga sumber makanan spesies harimau ini.

"Justeru, bagi memastikan sumber makanan Harimau Malaya adalah mencukupi untuk menampung keperluan populasi liarnya, kerajaan meluluskan dan mewartakan Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Musim Tutup) 2016.

"Perintah ini membekukan lesen memburu Rusa dan Kijang yang menjadi makanan utama Harimau Malaya bermula dari 1 November 2016 hingga 30 November 2021 yang mana pemburuan ke atas kedua-dua spesies ini adalah dilarang sepanjang tempoh ini," katanya.

Berita Harian X