Sabtu, 22 April 2017 | 4:30pm

36,144kg e-waste catat rekod MBOR

PRESIDEN CUEPACS, Adnan Mat. - Foto Amirudin Sahib
PRESIDEN CUEPACS, Adnan Mat. - Foto Amirudin Sahib

MUAR: Sambutan Hari Bumi 2017 di Dataran Tangkak, dekat sini, mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya mengumpulkan sisa barangan elektrik dan elektronik (e-waste) isi rumah terbesar di negara ini.

Sebanyak 36,144 kilogram e-waste isi rumah membabitkan pelbagai barangan elektrik dan elektronik termasuk peti sejuk beku, peti sejuk, televisyen, alat pendingin hawa, kipas dan mesin basuh memenuhi perkarangan Dataran Tangkak.

Wakil MBOR turut hadir ketika penimbangan akhir sisa e-waste dilakukan bagi mengesahkan rekod berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata program pengumpulan e-waste isi rumah itu dijalankan membabitkan penyertaan masyarakat setempat sekitar Tangkak, bermula 10 hingga 19 April lalu.

Katanya, enam jenis barangan elektrik dan elektronik isi rumah disasarkan dalam program ini membabitkan peti sejuk, pendingin hawa, mesin basuh, televisyen, selain telefon bimbit dan komputer peribadi yang sudah rosak dan tidak diperlukan.

Beliau berkata, kementerian menganjurkan program pengumpulan e-waste isi rumah ini bagi memberi kesedaran awam bahawa sisa sebegini perlu dilupuskan secara sistematik kerana ia mampu membahayakan, bukan sahaja kesihatan orang ramai malah alam sekitar.

"Ini kerana kebiasaannya orang awam serta masyarakat tidak tahu bagaimana mahu melupuskan sisa e-waste ini sehingga ada yang membuang serta melupuskannya di tepi jalan, malah kawasan sungai manakala sisa e-waste elektronik yang kecil sama ada dibuang di tong sampah atau dijual kepada pengusaha barangan lusuh.

"Di Malaysia, sisa e-waste sebegini disenaraikan sebagai satu daripada Buangan Terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005 dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab mengawal selia kemudahan atau pusat pengumpulan dan pemerolehan kembali sisa e-waste dengan memberi lesen khas.

"Ia juga selaras dengan pengenalan undang-undang baharu pengurusan sisa e-waste tahun hadapan yang akan mewajibkan orang awam melupuskan sisa berkenaan di pusat khas yang dijangka akan dibuka di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi 2017 di Dataran Tangkak dekat sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya juga akan memperluas program pengumpulan e-waste di seluruh negara bagi memberi pendidikan serta pendedahan awal kepada masyarakat sebelum undang-undang e-waste diwartakan.

Berita Harian X