Sabtu, 15 April 2017 | 1:42pm
PENJELAJAH KE7B Kutub Utara 2017, Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin (tengah), Mohd Irwan Yusof Abdullah (kanan) dan Shahrom Abdullah bersedia untuk berlepas ke Stesen Barneo Kutub Utara di Longyearbyen Svalbard. - Foto Abd Rahim Rahmat

3 penjelajah negara sedia rentas Kutub Utara

PENJELAJAH KE7B Kutub Utara 2017, Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin (kiri), Shahrom Abdullah dan Mohd Irwan Yusof Abdullah (kanan) bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Svalbard menuju ke Stesen Barneo Kutub Utara. - Foto Abd Rahim Rahmat

LONGYEARBYEN: Tiga penjelajah rakyat Malaysia dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) kini sudah berada di Station Barneo, Kutub Utara dan dijangka akan memulakan cabaran merentasi Kutub Utara pada bila-bila masa.

Jika cuaca mengizinkan, Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin, 37; Shahrom Abdullah, 37, dan Mohd Irwan Yusof Abdullah, 35, akan diterbangkan menggunakan helikopter ke titik permulaan bagi memulakan Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 ke Titik Kosong Darjah Kutub Utara.

Muhammmad Muqharabbin berkata, ketiga-ketiga mereka berlepas dari Lapangan Terbang Svalbard, Norway pada jam 5 petang (11 malam tadi waktu Malaysia), sebelum tiba Stesen Barneo yang mengambil masa dua setengah jam perjalanan.

Beliau berkata, jurupandu dari Polar Explorers North Pole Expedition, Taylor Sweitzer dan Chris Paustian, memaklumkan suhu di Kutub Utara ketika ini sangat ekstrem sehingga mencecah negatif 35 hingga 40 Celsius.

"Jika kami bernasib baik, penjelajahan sejauh 111 kilometer yang dijangka mengambil masa 11 hari ini dapat diselesaikan dalam masa lebih pendek atau lebih panjang kerana kedudukan titik Kutub Utara sentiasa bergerak dan hanyut.

"Ketika ini, ketiga-tiga kami berada dalam keadaan sihat dan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mencapai kejayaan menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia berjaya berski merentasi Kutub Utara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammmad Muqharabbin berkata, kejayaan pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, kelmarin semakin menambah semangat mereka untuk mencapai kejayaan itu.

"Kami memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kami selamat pergi dan balik serta mencapai kejayaan mengharumkan nama rakyat negara, sebaris dengan negara maju lain di persada dunia," katanya.

Dalam ekspedisi berkenaan, ketiga-tiga penjelajah negara akan berski dengan menarik beban seberat kira-kira 70 kilogram (kg) dan akan berhadapan pelbagai cabaran lain termasuk tiupan angin sejuk, rekahan dan lohong ais, permukaan muka bumi yang kasar serta timbunan salji yang menyukarkan perjalanan.

Berita Harian X