Selasa, 11 April 2017 | 1:44pm

Yayasan IJN anjur golf amal

KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) memerlukan sekurang-kurangnya RM800,000 bagi membantu 20 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 16 tahun daripada keluarga kurang berkemampuan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM40,000 seorang bagi menjalani prosedur dan pembedahan jantung.

Sehubungan itu, Yayasan IJN menganjurkan pertandingan golf amal  'Golf Digest Malaysia Corporate Challenge' bagi meraih dana daripada badan korporat atau individu persendirian untuk mengumpul dana berkenaan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Datuk Zainal Abidin Putih, berkata pihaknya menyasarkan penyertaan kira-kira 130 individu dengan bayaran RM6,000 bagi satu kumpulan yang akan diberi pengecualian cukai.

"Yayasan IJN memerlukan dana kira-kira RM3.5 juta setahun bagi membantu lebih 150 pesakit kanak-kanak dan dewasa yang kurang berkemampuan, khususnya dalam keadaan kos perubatan yang semakin meningkat.

"Pertandingan golf amal yang memasuki tahun keenam ini mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun dan dinaungi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemenang Amanah Yayasan IJN, Datin Julini Mohd Ali.

Badan korporat dan individu yang berminat menyertai pertandingan golf amal itu boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.ijnfoundation.com sebelum 30 April ini.

Berita Harian X