Sabtu, 1 April 2017 | 9:17pm

#YOUCANDUIT sasar 180,000 peserta baharu

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tengah) bersama isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad (tiga dari kanan), Razaliegh Zainal (tiga dari kiri), Pelawak, Mazlan Ahmad (dua dari kiri), Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Nor Sabrina Mohd Nor (dua dari kanan) serta Duta #YOUCANDUIT yang juga pelakon, Datuk Rosyam Noor (kiri) dan Erma Fatima (kanan) menunjukan tanda isyarat bagus selepas Majlis Perasmian #YOUCANDUIT Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan menarik sekurang-kurangnya 180,000 peserta baharu melalui dua program dianjurkan pihaknya melalui kempen #YOUCANDUIT tahun ini.

Selain 80,000 peserta baharu melalui program eUsahawan, kempen bertujuan mewujudkan platform ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi bagi membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu turut menyasarkan 100,000 peserta baharu melalui program eRezeki.

Naib Presiden Bahagian Hal Ehwal Korporat MDEC, Razaleigh Zainal, berkata eRezeki dan eUsahawan yang menjadi dua program teras di bawah #YOUCANDUIT semakin mendapat perhatian daripada golongan berpendapatan rendah terutama suri rumah, pelajar dan belia untuk meningkatkan pendapatan masing-masing selaras hasrat kerajaan.

Berdasarkan rekod, katanya pada 2016 seramai 51,000 peserta e-Usahawan berjaya dilatih, di mana 30 peratus menjana pendapatan sampingan dengan rekod jualan keseluruhan RM48 juta.

"Untuk 2017, kita sasarkan jumlah jualan keseluruhan RM60 juta melalui 80,000 peserta baharu eUsahawan yang dilatih, selain RM70 juta melalui 100,000 peserta baharu eRezeki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran #YOUCANDUIT di Kedah, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di sini, hari ini.

Sempena program dua hari itu, pelbagai pengisian disediakan khusus untuk pengunjung, malah penganjur turut membawa duta selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Fizo Omar dan Erma Fatimah untuk perkongsian ilmu dan pengalaman.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Mengenai penganjuran #YOUCANDUIT di Kedah, Razaleigh berkata pihaknya membuat penambahbaikan bagi membolehkan rakyat mengetahui lebih terperinci mengenai kedua-dua program disediakan itu dengan hari pertama penganjuran menerima lebih 2,500 pengunjung.

Berita Harian X