Selasa, 28 March 2017 | 2:37pm

NSTP-Aman Central jayakan MyRumah 2017 di Kedah

ZULKARNAIN Abd Talib (dua kanan) bersama Wendy Wong (dua kiri) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama menjayakan MyRumah 2017 antara NSTP dan Aman Central, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor
ZULKARNAIN Abd Talib (dua kanan) bersama Wendy Wong (dua kiri) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama menjayakan MyRumah 2017 antara NSTP dan Aman Central, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) akan diteruskan di Kedah pada Ogos ini, dengan sasaran utama ke arah memenuhi keperluan sektor perumahan mampu milik khususnya di wilayah utara.

Berlangsung antara 4 hingga 6 Ogos, MyRumah di Kedah akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 pemaju hartanah utama wilayah utara khususnya dari negeri ini.

Pengurus Besar Wilayah dan Perkhidmatan Kreatif NSTP, Zulkarnain Abd Talib, yakin pameran di Kedah bakal mendapat sambutan masyarakat setempat berikutan sektor terbabit pesat membangun di negeri ini.

Katanya, ia ditambah dengan pemaju yang menawarkan lebih banyak rumah mampu milik sebagai pelaburan menguntungkan kepada pembeli.

"Kami mengalu-alukan penyertaan pemaju perumahan mampu milik kerana pemaju hartanah yang menawarkan harga berpatutan boleh menggamit lebih ramai pembeli untuk berkunjung ke pameran ini.

"MyRumah bukan berkisar kepada pameran hartanah semata-mata, sebaliknya kami menyediakan pakar perunding yang akan berkongsi pandangan mengenai pelbagai topik berkaitan hartanah seperti pelaburan, kewangan, feng shui dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama menjayakan MyRumah 2017 antara NSTP dan Aman Central, hari ini.

Zulkarnain berkata, persetujuan Aman Central menyediakan ruang bagi pameran itu membantu pihaknya meyakinkan pemaju menyertai pameran itu, berikutan pusat beli-belah itu sentiasa menerima pengunjung tertinggi di Kedah.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Pemasaran Aman Central, Wendy Wong, berkata pihaknya akan menyediakan lebih 1,390 meter persegi ruang di lantai aras bawah sebagai tanda menyokong MyRumah 2017 anjuran NSTP.

"Ruang itu sering digunakan syarikat dan peniaga membuat pameran dan jualan. Setakat ini hasil jualan di lantai aras bawah di sini tidak pernah mengecewakan.

"Kerjasama ini adalah sokongan kami untuk melihat lebih ramai penduduk negeri ini memiliki rumah sendiri, selain pengunjung memperoleh ilmu mengenai pasaran hartanah, cara menguruskan kewangan serta pelaburan," katanya.

Berita Harian X