Isnin, 27 March 2017 | 2:37pm

Kerajaan tak pinggir SJKC di Sabah

MENTERI Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang (tengah) bersama Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon (dua dari kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian wakil sekolah SJKC di Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) untuk Negeri Sabah di Dewan SJK(C) Chung Hwa Likas. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan tidak pernah meminggirkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sabah, sebaliknya komited menyelesaikan apa juga isu berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata kerajaan memperuntukkan RM68 juta kepada SJKC di negeri ini bagi menyelesaikan masalah bangunan tidak selamat.

"Ini tidak termasuk 13 sekolah mubaligh yang turut menerima peruntukan daripada kerajaan Sabah.

"Ia sekali gus melenyapkan tuduhan liar sesetengah pihak kononnya SJKC dipinggirkan oleh kerajaan," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Kementerian Pendidikan kepada SJKC dan Sekolah Bukan Kerajaan (SBK) Sabah di Dewan SJKC Chung Hwa, Likas di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon.

Ka Siong berkata, semua peruntukan yang diberikan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Cina di negeri ini, malah kepada penduduk Bumiputera.

"Uniknya di Sabah, SJKC bukan hanya untuk pelajar Cina tetapi semua kaum kerana ramai masyarakat Bumiputera di negeri ini belajar di SJKC," katanya sambil menambah Sabah sentiasa menjadi antara tiga sekolah di Malaysia menerima peruntukan terbanyak daripada kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Chee Kang berkata, tarikh tutup permohoNan peruntukan bagi sekolah cina, mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini diawalkan iaitu sebelum 30 April ini.

"Kita awalkan tarikh bagi mempercepatkan proses permohonan kerana selalunya kita akan mengadakan mesyuarat berkenaan hal itu sekitar Ogos atau September.

"Ia bercanggah dengan masa pegawai tertentu yang pada masa itu sibuk dengan bajet negeri, biasanya dibentang sekitar Oktober atau November," katanya sambil menegaskan ia tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seperti didakwa sesetengah pihak.

Berita Harian X