Sabtu, 25 March 2017 | 2:24pm

3 negara bincang keselamatan Laut Sulu

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bertemu di Sabah bulan depan, bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan maritim di kawasan Laut Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat tiga hala itu akan memberi fokus utama kepada inisiatif memastikan keselamatan maritim membabitkan ketiga-tiga negara yang turut meliputi perairan Sabah.

"Untuk pertemuan yang akan berlaku kira-kira tiga minggu lagi, kita akan lihat soal keselamatan Lautan Sulu khususnya melalui inisiatif kerjasama diambil ketiga-tiga pihak, ini akan turut meliputi soal kerjasama rondaan, pemantauan udara seperti 'eyes in the sky' dan sebagainya.

"Saya sendiri sudah diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk memikirkan usaha kerjasama baharu untuk tingkatkan aspek keselamatan di kawasan itu," katanya ketika ditemui selepas majlis Dialog TN50 bertemakan Masa Depan Pertahanan Negara di sini, hari ini.

Dialog dianjurkan khusus sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) itu disertai 600 anak muda, dengan pelbagai isu dibangkitkan berkisar kepada aspek keselamatan dan pertahanan.

Mengulas kerjasama tiga negara itu, Hishammuddin berkata ia suatu keperluan untuk bergerak bersama dalam satu ketumbukan terutama dengan jumlah aset yang berjaya digerakkan untuk pemantauan Laut Sulu.

"Bayangkan ketika ini Abu Sayyaf dan puak militan tertentu sudah menyatakan sokongan kepada Daesh dan kita khuatir jika gerakan di Iraq dan Syria berjaya, mereka akan kembali ke negara asal masing-masing termasuk Malaysia.

"Jika ini berlaku saya kira tiada negara yang boleh bergerak secara sendirian dan bayangkan 'kuasa' dimiliki di Laut Sulu jika aset Malaysia, Indonesia dan Filipina dapat bersatu, kerjasama tiga negara ini baru permulaan," katanya.

Berita Harian X