Khamis, 23 March 2017 | 3:29pm

Boon Siew perkenal jentera baru

BATU KAWAN: Pengeluar dan pemborong motosikal jenama Honda di negara ini, Boon Siew Honda Sdn Bhd, memberi penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, dalam lawatan khas memperkenalkan jentera teknologi terbarunya.

Abdul Rahman yang diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri, Datuk Mohd Pudzi Man; dan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Meor Hazebullah Meor Abd Malik, meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat kilang di Batu Kawan, di sini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew, Nobuhide Nagata, berkata pihaknya memperkenalkan tiga teknologi terbaru iaitu Sistem Cat Berkembar, Jentera Cat Berputar dan Robot Pematuhan Bentuk Cat yang dibangunkan di Jepun.

"Sistem Cat Berkembar adalah yang pertama digunakan dalam industri pemotoran dan ia meningkatkan kecekapan salutan daripada 15 peratus sebelum ini kepada 45 peratus.

"Menerusi penggunaan Jentera Cat Berputar, ia membantu kecekapan Sistem Cat Berkembar, sekali gus mengurangkan pembaziran cat.

"Robot Pematuhan Bentuk Cat menyesuaikan proses mengecat dan memadankan bentuk produk, selain meningkatkan kecekapan sehingga 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, selain ketiga-tiga teknologi canggih berkenaan, Boon Siew turut memperkenalkan Makmal Pelepasan yang digunakan untuk menguji spesifikasi yang ditetapkan bagi tahap pelepasan karbon.

Katanya, Boon Siew adalah pengilang motosikal pertama yang mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Menerusi Visi Alam Sekitar dan Keselamatan yang diumumkan pada 2010, Boon Siew akan terus berusaha mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar dengan memberi tumpuan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan penjimatan bahan api," katanya.

Berita Harian X