Sabtu, 18 March 2017 | 6:49pm

Buat penghakiman bertentangan jika perlu: Sultan Perak

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto Khairull Azry Bidin.
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto Khairull Azry Bidin.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menggesa hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk menulis penghakiman bertentangan jika tidak bersetuju dengan majoriti panel hakim.

Baginda bertitah, walaupun tidak dapat disangkal pendapat sebulat suara amat bernilai, adalah kritikal untuk hakim memberikan pendapat bertentangan jika perlu.

"Ada kalangan hakim mungkin berpegang teguh pada sabitan dari sisi undang-undang dan moral, namun gagal memberikan pertimbangan sewajarnya berhubung kebimbangan mereka dalam penghakiman dan mereka mungkin kekal membisu apabila tidak bersetuju dengan penghakiman hakim lain; bimbang bahawa komen mereka mungkin diketepikan; atau mungkin tersalah anggap bahawa apa yang mungkin mereka ingin katakan adalah tidak penting," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, bagaimanapun panel hakim dan proses membuat keputusan badan kehakiman boleh dengan mudah mengendalikan pendapat yang berbeza bagi mana-mana isu.

"Kadang-kadang suara bertentangan yang berani diterjemahkan menjadi undang-undang. Satu kes klasik adalah Brown menentang Lembaga Pendidikan 347 US 483 (1954) apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat memberi perhatian terhadap suara Hakim Harlan yang memberikan pendapat bertentangan dalam kes Plessy menentang Ferguson 163 US 537 (1896).

"Hasilnya, dalam penghakiman bersejarah itu, Ketua Hakim Negara Warren pada ketika itu memutuskan bahawa pemisahan kaum di sekolah awam adalah pencabulan terhadap Perlembagaan Amerika Syarikat yang menjamin hak sama rata," titah baginda dalam titah ucapan khas pada pelancaran buku bertajuk 'Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries' di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, hakim perlu bebas untuk memberikan alasan dalam penghakiman yang mereka fikir sesuai, iaitu pendek kata, untuk Kedaulatan Undang-Undang terus subur, mahkamah dan peserta mereka perlu dibenarkan untuk menyuarakan pelbagai idea dan prinsip.

Baginda bertitah, penghakiman yang dibuat hakim sebenarnya yang menentukan keputusan yang dibuat mereka.

"Setiap hakim perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian sepenuhnya, malah walaupun keputusan majoriti yang menentukan keputusannya. Kebebasan badan kehakiman sebenarnya, membantu dalam menjamin Kedaulatan Undang-Undang didukung sepenuhnya.

"Pematuhan terhadap Kedaulatan Undang-Undang perlu menjadi teras dan pegangan semua hakim dalam menghakimi semua perkara di hadapan mereka -- tidak kira isu apa pun, tidak kira kepentingan siapa yang mereka perlu buat keputusan. Ini bagi memastikan bahawa keadilan sentiasa terpelihara," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, karakter, kualiti dan kebebasan hakim sendiri turut berperanan dalam mengekalkan keyakinan awam terhadap mahkamah kerana hakim bukan berada di situ sekadar untuk membuat keputusan terhadap sesuatu kes tetapi untuk membuat keputusan terhadap kes secara adil dan saksama.

Baginda bertitah, melakukan perkara yang betul adalah tanggungjawab semua hakim, malah ia menjadi tugas hakiki mereka.

Baginda menambah dalam membuat keputusan, amat penting bagi hakim memberikan alasan dalam penghakiman bertulis.

"Pertamanya, ia mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti proses membuat keputusan, komponen penting dalam mendapatkan keyakinan awam; dan keduanya, menerusi penghakiman ini undang-undang dirumuskan".

Sultan Nazrin bertitah, sebagai peguam yang arif mengenai `common law' dalam membuat penghakiman mereka, hakim perlu memiliki naratif yang mantap bagi memastikan kewajaran alasan dalam penghakiman mereka adalah tepat.

Baginda bertitah, kualiti berkenaan dapat dilihat dengan jelas dalam penghakiman hebat pada masa lalu dan ketika ini, dan hakim seumpama itu mendominasi dan mentakrifkan pencapaian mereka, malah pembentukan diri mereka sendiri dicirikan olehnya.

"Beberapa daripadanya adalah tokoh terkemuka badan kehakiman, yang legasi penghakiman hebat mereka akan diwariskan ke generasi seterusnya.

"Sehubungan itu, kita akan sentiasa terhutang budi pada alasan yang jelas dan menyeluruh dalam penghakiman Tun Suffian, Tun Azmi, Tuanku Sultan Azlan Shah, Hakim Eusoffee Abdoolcader, HT Ong, SS Gill dan tokoh hakim yang lain," titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X