Selasa, 14 March 2017 | 11:39am

Sultan Perak minta hargai air

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika hadir pada majlis perasmian Loji Rawatan Air Kampung Senawar Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika hadir pada majlis perasmian Loji Rawatan Air Kampung Senawar Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu program pendidikan mengenai nilai dan kepentingan air serta kepentingan memulihara dan memelihara sumber air disemaikan di kalangan rakyat. 

Baginda bertitah, program pendidikan itu diharap dapat menyemai sikap tanggungjawab bersama menghargai air dan sumber air di dalam keluarga, bangku sekolah, tempat bekerja, pertubuhan bukan kerajaan dan rumah ibadat. 

"Mulakan sikap menghormati dan menghargai air dengan langkah permulaan iaitu tidak lagi membuang sisa buangan dan sampah ke dalam parit, longkang dan sungai.

"Ia mungkin tindakan kecil, tetapi langkah besar dan berimpak tinggi, bermula dengan satu langkah kecil yang dilakukan secara beramai-ramai hingga tersemai satu keinsafan dan kesedaran hingga diperlihatkan sebagai amalan harian dan satu budaya di kalangan warga," titah baginda. 

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Loji Rawatan Air Kampung Senawar di sini sebentar tadi. 

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan hadir pada majlis berkenaan. 

Turut berkenan hadir, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

Sultan Nazrin bertitah, memulihara dan memelihara sumber air serta budaya menggunakan air secara berhemah dan optimum adalah tanggungjawab setiap rakyat. 

Baginda bertitah, rakyat yang selama ini dilahir dan dibesarkan dalam persekitaran tropika dan beranggapan air adalah bahan yang mudah diperolehi, wajib disedarkan mengenai tanggungjawab menghargai air dan tidak melakukan pencemaran terhadap sumber air serta dididik tidak membazir.

Berita Harian X