Ahad, 12 March 2017 | 7:04pm

Kampus NIOSH Kerteh operasi Jun

TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Iqmal Haqim Rosman

CHUKAI: Kampus baharu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bernilai RM4.6 juta di Kerteh di sini, dijangka mula beroperasi Jun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kampus baharu dua tingkat di Jalan Lapangan Terbang Kerteh di sini, akan beroperasi sebagai pusat latihan dan kecemerlangan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan industri minyak dan gas.

Beliau berkata, pembukaan kampus baharu yang dilengkapi kemudahan dan peralatan moden itu mampu melatih sehingga 25,000 peserta bidang keselamatan dan kesihatan industri minyak dan gas, berbanding 20,000 ketika ini.

"Ini menjadikan 120,000 peserta dapat dilatih di 13 pusat kemudahan latihan NIOSH di seluruh negara dalam pelbagai bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya selepas melawat kampus di peringkat akhir pembinaan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu penting diwujudkan berikutan industri minyak dan gas dijangka pulih tahun depan.

Dengan bantuan pusat kecemerlangan NIOSH, Lam Thye yakin industri minyak dan gas yang pesat membangun di Pantai Timur berupaya mengekalkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi serta menepati piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, NIOSH menerima permintaan tinggi untuk kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkaitan bidang petroleum dan gas, terutama di kawasan pertumbuhan industri itu di Kerteh; Pengerang, Johor dan Bintulu, Sarawak.

Berita Harian X