Khamis, 9 March 2017 | 1:13pm
DR Huang Huikang bersalam dengan kakitangan Hengyuan Refining Company sebaik tiba ke program lawatan Hengyuan Refining Company Berhad, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
DR Huang Huikang bersalam dengan kakitangan Hengyuan Refining Company sebaik tiba ke program lawatan Hengyuan Refining Company Berhad, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

HRC kekalkan semua pekerja

PORT DICKSON: Kira-kira 500 pekerja kilang penapis minyak Shell Refining Company Berhad (SRC) dikekalkan selepas syarikat itu diambil alih oleh syarikat petrokimia China.

SRC kini dikenali sebagai Hengyuan Refining Company Berhad (HRC) selepas Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL) menguasai 51 peratus kepentingan dalam SRC bernilai AS$66.3 juta (RM295.57 juta) akhir tahun lalu.

MHIL ialah anak syarikat milik penuh Shandong Hengyuan Petrochemical Company Limited.

Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, berkata pengambilalihan itu tidak memberi kesan negatif kepada pekerja kilang penapis minyak itu.

Malah, katanya, kakitangan dijangka mendapat pelbagai manfaat yang ditambah baik, berbanding sekarang.

"Pelaburan syarikat China di HRC menambah nilai kepada ekonomi Malaysia dan memanfaatkan penduduk di kawasan sekitar," katanya selepas melawat HRC di sini, hari ini.

Beliau juga yakin pelaburan syarikat China dalam HRC membolehkan pemindahan teknologi kepada industri petrokimia di negara ini.

Huikang yang kini dalam program lawatan ke projek pelaburan syarikat China di Negeri Sembilan, turut melawat Kibing Group (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Seremban, petang ini.

Berita Harian X