Selasa, 28 Februari 2017 | 8:48pm

Kes Jong-nam: Korea Utara hantar pegawai kanan ke KL

SAIFUDDIN Abdullah bermesra dengan Duta Holy See ke Malaysia, Joseph Marino pada Majlis Farewell Hi-Tea sempena perpisahan Duta Holy See di Wisma Putra. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
SAIFUDDIN Abdullah bermesra dengan Duta Holy See ke Malaysia, Joseph Marino pada Majlis Farewell Hi-Tea sempena perpisahan Duta Holy See di Wisma Putra. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Korea Utara menghantar seorang pegawai kanannya ke Kuala Lumpur untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai perkara berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Pegawai berkenaan, bekas duta besar Korea Utara di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ri Tong-il, tiba hari ini dan mengisytiharkan: "Mulai hari ini, saya akan menjadi jurucakap rasmi."

Bercakap kepada pemberita tempatan dan luar negara yang menghadiri sidang berita di pekarangan Kedutaan Korea Utara di sini, beliau berkata perbincangannya akan ditumpukan kepada tiga perkara.

Katanya tiga perkara berkenaan adalah meminta mayat Jong-nam diserahkan kepada Korea Utara, persoalan berhubung penahanan seorang rakyat Korea Utara oleh polis Malaysia dan 'hubungan persahabatan' di antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.

Tong- il berkata, beliau berharap dapat menyelesaikan 'isu kemanusiaan' yang timbul berikutan kematian Jong-nam, yang hidup terasing daripada Jong-un.

Bagaimanapun, Tong-il enggan memberitahu bila pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia akan diadakan atau berapa lama beliau berada di negara ini.

Setakat ini, tidak diketahui sama ada Tong-il datang bersendirian atau bersama-sama satu delegasi.

BERNAMA

Berita Harian X