Sabtu, 25 Februari 2017 | 2:53pm

Kaki buli digantung sekolah 6 bulan

DATUK Seri Mahdzir Khalid menyampaikan ucapan di majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di Universiti AIMST, Bedong. - Foto Sharul Hafiz Zam
DATUK Seri Mahdzir Khalid menyampaikan ucapan di majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di Universiti AIMST, Bedong. - Foto Sharul Hafiz Zam

SUNGAI PETANI: Berkuat kuasa serta-merta, pelajar yang terbabit dengan kes buli boleh digantung persekolahan sehingga enam bulan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dokumen penguatkuasaan yang memberi kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah menggantung kaki buli itu sudah ditandatangani.

"Saya menandatangani dokumen itu semalam bagi membenarkan tindakan menggantung persekolahan sehingga enam bulan dan pemulihan dilaksanakan.

"Berdasarkan dokumen itu, ketua buli akan dikenakan penggantungan enam bulan manakala rakan lain lapan minggu atau mengikut budi bicara Jawatankuasa Disiplin yang menyiasat kes terbabit.

"Dalam tempoh penggantungan, pelajar terbabit akan menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak mengikut tempoh ditetapkan," katanya selepas menghadiri majlis dialog bersama Menteri Pendidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar perempuan tingkatan satu di Petaling Jaya yang menerima empat jahitan di kepala akibat dibelasah dua pelajar tingkatan tiga, Khamis lalu.

Terdahulu, seramai 1,700 warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyertai majlis dialog itu.

Berita Harian X