Jumaat, 17 Februari 2017 | 8:35am

LTAL beroperasi 24 jam sepanjang LIMA 2017

KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Nordin (dua dari kanan) bermesra dengan pengusaha pelancongan pada Malam Tourism Langkawi di Ombak Villa, Langkawi, malam tadi. - Foto Hamzah Osman
KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Nordin (dua dari kanan) bermesra dengan pengusaha pelancongan pada Malam Tourism Langkawi di Ombak Villa, Langkawi, malam tadi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) akan dibuka 24 jam sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 pada 21 hingga 25 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Nordin, berkata ia bertujuan memudahkan delegasi.

"Pintu masuk ke Langkawi menerusi LTAL dibuka 24 jam. Jika syarikat penerbangan mahu datang pada lewat malam atau awal pagi, mereka perlu membuat permohonan kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Penerbangan Awam.

"Saya sudah berbincang dengan MAHB Langkawi dan tiada masalah mengenainya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Malam Tourism Langkawi di Ombak Villa di sini, malam tadi.

Azizan berkata, pihaknya yakin masalah penginapan dan pengangkutan untuk pelancong yang mengunjungi Langkawi tidak timbul sepanjang LIMA 2017.

"Ketika ini Langkawi dilengkapi 10,500 bilik hotel, calet dan inap desa selain 1,200 buah teksi sebagai pengangkutan yang mampu menampung keperluan sepanjang pameran itu," katanya.

Berita Harian X