Khamis, 16 Februari 2017 | 8:56pm
PEMENANG 'Win A Beetle Contest', Chong Chee Ken, 50, bergambar bersama kereta jenis Volkswagen Beetle yang dimenanginya di Majlis Penyampaian Hadiah 'Win A Beetle Contest' Sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Aman Central. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMENANG 'Win A Beetle Contest', Chong Chee Ken, 50, bergambar bersama kereta jenis Volkswagen Beetle yang dimenanginya di Majlis Penyampaian Hadiah 'Win A Beetle Contest' Sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Aman Central. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ibu tunggal pandu pulang Volkswagen Beetle

ALOR SETAR: Impian seorang ibu tunggal memiliki sebuah kereta jenama Volkswagen, menjadi kenyataan apabila dia dipilih pemenang utama pertandingan 'Drive Me Home - Win a Beetle' sempena ulang tahun pertama pusat beli belah Aman Central, di sini, hari ini.

Lebih dramatik, Chong Chee Ken, 50, membawa pulang sebuah Volkswagen Beetle yang menjadi hadiah utama pertandingan itu, selepas kira-kira dua minggu berkira-kira untuk membeli Volkswagen Vento.

Chee Ken yang menghantar kira-kira 200 borang penyertaan, adalah antara 68 finalis yang disenarai pendek daripada lebih 100,000 penyertaan yang dihantar pelanggan Aman Central melalui peraduan itu yang berlangsung antara tempoh 1 Oktober hingga 5 Februari lalu.

Ketika ditemui, Chee Ken mengakui tidak menyangka kereta yang menjadi hadiah utama itu menjadi miliknya, kerana dia dimaklumkan lebih 100,000 penyertaan dikatakan diterima penganjur.

"Saya memang ada niat nak beli Volkswagen sebab nak tukar kereta lama saya dan awal bulan ini pun, saya ada minta anak saudara pergi tengok kereta (Volkswagen) Vento sebab saya mahu beli.

"Semasa dihubungi Aman Central, saya memang tak mahu datang (hari ini) sebab saya rasa mustahil nama saya boleh menang, malah semua borang pun pekerja cawangan Tomei tempat saya berbelanja yang tolong isikan.

"Selepas dapat tahu nama saya disenarai pendek, rakan-rakan dan saudara bergurau minta saya sembahyang banyak-banyak dan hari ini saya gembira sebab saya menang," katanya yang menganggapnya sebagai mimpi jadi kenyataan.

Chee Ken yang menyertai kelompok lapan peserta bertuah disenarai sebagai dua peserta akhir untuk layak menyertai cabutan utama, sebelum kunci dipilihnya berjaya menghidupkan kereta Volkswagen Beetle bernilai RM135,888 yang dipamerkan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Belleview Group merangkap pemilik Aman Central, Datuk Sunny Ho.

Berita Harian X