Jumaat, 10 Februari 2017 | 4:23pm

Tiada kes baharu jangkitan saluran pernafasan

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak panik berhubung kes jangkitan saluran pernafasan di Tanah Merah, Kelantan yang meragut satu nyawa, Ahad lalu.

PRESIDEN MMC, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
PRESIDEN MMC, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada kes baharu dikesan dalam kalangan masyarakat dan juga ahli keluarga mangsa setakat semalam.

"Semua kes yang dilaporkan masih dalam kalangan sanak-saudara yang menghadiri majlis pertemuan keluarga di Kajang, Selangor dan pemantauan masih diteruskan.

"Tiada peningkatan kes dikesan termasuk di Kelantan dan Selangor, selain tiada juga penyakit berjangkit berpunca daripada ternakan dilaporkan.

"Justeru, kes ini adalah kluster jangkitan saluran pernafasan terpencil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seperti jangkitan lain, katanya, keputusan ujian sampel klinikal mengambil masa untuk diproses dan disahkan kerana perlu menjalani ujian kultur serta serologi bagi pengesahan punca jangkitan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan sampel klinikal yang diterima setakat ini menunjukkan semua kes adalah negatif bagi Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Berita Harian X