Khamis, 9 Februari 2017 | 2:13pm

Menteri arah henti segera serbuan berus babi

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diarah menghentikan serta-merta serbuan dan rampasan ke atas premis perkakasan binaan yang menjual berus diperbuat daripada bulu babi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau mengarahkan Pengarah Penguat Kuasa kementerian, Mohd Roslan Mahayuddin segera berbuat demikian bagi mengelak timbulnya isu yang menggugat keharmonian antara kaum dan agama.

"Sebagai menteri, saya lihat serbuan ini boleh gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, jadi saya ambil keputusan untuk menghentikan pada Selasa lalu.

"Saya juga tidak mahu melihat isu berus cat bulu haiwan menjadi ia sebagai isu polemik yang boleh memecah-belahkan kita, walhal ia boleh ditangani dengan lebih berhemah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pagi ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Kang Hua Keong; Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng; dan Pengerusi Eksekutif Persatuan Pemborong Barangan Logam Malaysia, Low Cheng Ho.

HAMZAH (dua dari kanan) ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini berhubung isu berus cat yang diperbuat daripada bulu babi. - Foto Yazit Razali
HAMZAH (dua dari kanan) ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini berhubung isu berus cat yang diperbuat daripada bulu babi. - Foto Yazit Razali

Sementara itu, Hamzah berkata, peniaga perkakasan binaan diberi tempoh sebulan untuk melabel dan mengasingkan berus cat atau produk lain berunsur babi, sebelum tindakan susulan diambil.

Selepas berakhir tempoh berkenaan, peniaga yang gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan.

"Berdasarkan undang-undang sedia ada iaitu Perintah Perihal Dagangan (Barang-Barang Diperbuat Daripada Mana-Mana Bahagian Babi atau Anjing) 2013, pemborong, pembekal atau peniaga wajib mematuhinya.

"Bagaimanapun, mereka ambil sikap sambil lewa iaitu ada sebahagian mematuhinya, manakala sebahagian lagi enggan berbuat demikian.

"Yang enggan ini kita akan ambil tindakan.. sebelum itu anggota penguat kuasa KPDNKK akan memberi penerangan dan nasihat mengenainya," katanya.

Beliau berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X