Selasa, 7 Februari 2017 | 7:20pm

Koleksi busana Rosmah tarikan HKK 2017

KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab Ghaffar A Tambi (dua kiri) dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Zuraida Mokhtar (dua kanan) menunjukkan barangan yang bakal dipamerkan pada sidang akhbar Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab Ghaffar A Tambi (dua kiri) dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Zuraida Mokhtar (dua kanan) menunjukkan barangan yang bakal dipamerkan pada sidang akhbar Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 koleksi busana isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bakal dipamerkan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK) di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini, 22 Februari hingga 6 Mac depan.

Koleksi dinamakan Busana Perdana menggunakan fabrik songket dan batik itu adalah hasil daripada beberapa pereka fesyen terkenal tanah air.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Zuraida Mokhtar, berkata pengunjung berpeluang melihat kreativiti pereka fesyen tempatan menghasilkan rekaan mereka.

"Pameran Busana Perdana itu adalah antara tarikan utama HKK 2017. Kita menyasarkan 50,000 pengunjung memeriahkan karnival 13 hari ini," katanya pada sidang akhbar HKK 2017 sini, hari ini.

Zuraida berkata, pengunjung berpeluang bertemu usahawan dan berkongsi ilmu mengenai industri fabrik tempatan termasuk dari segi motif dan perinciannya.

Katanya, tarikan lain turut menjanjikan kelainan termasuk pameran Batik Blok corak tiga lapis atau madu tiga yang mengemukakan pembaharuan dari segi teknik pembuatan batik.

"Batik berkenaan perlu melalui tiga proses lapisan blok dengan motif berbeza dan empat kali proses pewarnaan," katanya.

HKK 2017 bertemakan 'Native Art' turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Bintang HKK, konsert Teh Tarik, Citarasa Belanga dikelolakan cef terkemuka, Pencarian Wanita Melayu dan Peragaan Satu Pentas serta 8 Ikon yang menampilkan koleksi rekaan usahawan tekstil kraf tempatan.

Info

Hari Kraf Kebangsaan 2017 (HKK 2017)

* Bermula 22 Februari hingga 6 Mac

* Penganjuran edisi ke-15

* Bertujuan membawa pembaharuan produk kraf dengan penampilan khas seni ukiran chalet

* Mengenengahkan produk berkonsep hasil rimba, logam, seramik, kraf dan tekstil

Berita Harian X