Selasa, 7 Februari 2017 | 1:54pm

Rafflesia Tuan Mudae Tanjong Datu tarik pelancong

LUNDU:  Keunikan alam semula jadi antara daya tarikan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Selain memiliki Gunung Gading dan Gunung Pueh yang menggamit penggemar aktiviti mendaki, Tanjong Datu juga memiliki pantai yang indah dan mempesonakan.

Malah di kawasan ini juga memiliki pulau yang menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur iaitu Pulau Talang-Talang.

Keindahan alam semula jadi di kawasan ini dikawal rapi kerana kerajaan negeri memastikan ia diwariskan untuk generasi akan datang.

 PEMANDU pelancong Taman Negara Gunung Gading, Bihai Nyah melihat keadaan bunga Rafflesia yang kembang pada hari kedua. Peluang melihat bunga Rafflesia sentiasa memberi pengalaman berbeza kerana dalam tempoh enam hari proses bunga itu kembang warna serta keadaan kelopak sentiasa berubah. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMANDU pelancong Taman Negara Gunung Gading, Bihai Nyah melihat keadaan bunga Rafflesia yang kembang pada hari kedua. Peluang melihat bunga Rafflesia sentiasa memberi pengalaman berbeza kerana dalam tempoh enam hari proses bunga itu kembang warna serta keadaan kelopak sentiasa berubah. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ini dapat dilihat dengan kewujudan Taman Negara Tanjong Datu yang terletak di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia dan Taman Negara Gunung Gading hanya di belakang pekan Lundu.

Selain itu, kawasan hutan berdekatan dengan pekan Sematan iaitu Hutan Simpan Samunsam juga dijaga dengan rapi bukan sahaja untuk memastikan khazanah rimba di situ terpelihara tetapi juga untuk Memastikan kawasan itu terus menjadi habitat tuntung iaitu sejenis penyu sungai untuk bertelur.

Kesungguhan pihak berkuasa hutan menjaga alam semula jadi di kawasan Tanjong Datu menyebabkan Rafflesia, spesies bunga pakma terbesar masih dapat dilihat dan sentiasa mekar.

Ini kerana bunga unik yang hanya mekar dalam tempoh kira-kira seminggu itu tidak akan tumbuh di kawasan hutan sekunder.

Seorang pemandu pelancong yang mendapat manfaat dari keindahan alam semula jadi Tanjong Datu, Antonia Chia berkata, Rafflesia tumbuh dan mengeluarkan bunga di kawasan hutan dara.

"Sebab itu bunga unik ini ditemui di kawasan Tanjong Datu.  Hutan di kawasan ini masih dijaga dengan rapi dan inilah sumbangan terbesar dalam memastikan khazanah rimba yang tidak ternilai ini kekal untuk generasi akan datang," katanya.

Antonia berkata, terdapat dua jenis bunga Rafflesia di kawasan Tanjong Datu iaitu spesies 'Tuan Mudae' yang ditemui di Taman Negara Gunung Gading dan 'Hasseltii' yang tumbuh di dalam kawasan Taman Negara Tanjong Datu.

"Orang ramai yang ingin melihat bunga unik ini, anda tidak perlu pergi jauh kerana ia terdapat di Gunung Gading yang terletak dekat dengan pekan Lundu.

"Mereka hanya perlu berjalan kira-kira 400 meter atau 25 minit dari pejabat taman negara sebelum sampai ke lokasi bunga pakma itu," katanya yang membawa wartawan dari Kumpulan NSTP melihat bunga unik itu, semalam.

Peluang untuk melihat Rafflesia kembang sebenarnya jarang diperolehi kerana bunga itu kembang hanya dalam tempoh enam hari dan dalam tempoh itu, warna serta keadaan kelopaknya sentiasa berubah.

Antonia berkata, bunga itu kembang sehingga 60 sentimeter dan mempunyai lima kelopak yang cantik dan warnanya lebih terang.

"Tahun ini bunga Rafflesia Tuan Mudae kembang sebanyak enam kali iaitu empat kali pada Januari dan dua kali setakat bulan ini.

"Secara purata, sebanyak 24 bunga akan kembang setiap tahun," katanya.

Taman Negara Gunung Gading meliputi kawasan seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada 1983.

Berita Harian X